KUALA LUMPUR: Isu harga tiket penerbangan ke Sabah dan Sarawak yang didakwa melambung tinggi setiap kali musim perayaan kembali menjadi rungutan ramai pengguna media sosial.
Perkongsian pempengaruh media sosial, Daus Batjo di Threads yang mempersoalkan harga tiket penerbangan ke Sabah sehingga mencecah ribuan ringgit menerima pelbagai reaksi netizen, khususnya rakyat Sabah dan Sarawak yang bekerja di Semenanjung.
Dalam hantaran itu, Daus meluahkan rasa kecewa apabila harga tiket penerbangan domestik ke Sabah dilihat lebih mahal berbanding penerbangan ke beberapa negara jiran termasuk Vietnam.
“Sabah itu Malaysia juga, jangan melampau,” tulisnya dalam hantaran yang meraih lebih 62,000 tontonan dan ribuan tanda suka.
Rata-rata netizen bersetuju dengan kenyataan itu dan mendakwa isu harga tiket mahal berlaku hampir setiap kali musim perayaan terutama Aidilfitri.
Seorang pengguna media sosial mendakwa harga tiket ke Sarawak ketika musim perayaan seakan-akan menyamai kos penerbangan ke London.
“Ada yang terpaksa tangguh balik kampung sebab tiket terlalu mahal,” tulis seorang lagi pengguna.
Malah, ada netizen berkongsi pengalaman terpaksa membayar sehingga RM1,200 seorang untuk penerbangan balik ke Sabah dan Sarawak jika pembelian dibuat pada saat akhir.
Seorang pengguna turut mendakwa keluarga besar boleh menanggung kos sehingga RM3,000 hingga RM4,000 hanya untuk pulang beraya.
Dalam masa sama, ada pengguna menjelaskan harga tiket meningkat disebabkan permintaan tinggi selain sistem harga dinamik yang digunakan syarikat penerbangan.
“Tiket murah memang ada, tapi kuota cepat habis. Lepas itu harga akan naik ikut permintaan,” kata seorang netizen.
Selain itu, terdapat juga pengguna yang mengaitkan kos operasi dan caj penggunaan ruang udara sebagai antara faktor mempengaruhi harga penerbangan ke Borneo.
Bagaimanapun, majoriti netizen berharap syarikat penerbangan dan kerajaan dapat mencari penyelesaian lebih baik supaya rakyat Sabah dan Sarawak tidak terus terbeban setiap kali musim perayaan.










