KUALA LUMPUR: Dakwaan bahawa bekas Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli cuba meniru model politik Presiden Perancis, Emmanuel Macron menjadi perhatian selepas seorang pengulas politik di Threads membandingkan pendekatan kedua-dua tokoh tersebut.
Pengguna Threads dikenali sebagai Hariz Aiman mendakwa Rafizi dilihat membawa pendekatan politik ala Macron yang pernah mencipta kejutan dalam politik Perancis menerusi gerakan En Marche! pada 2016.
Menurutnya, Macron berjaya membina gerakan politik baharu berasaskan imej reformis, pendekatan digital dan naratif perubahan sehingga memenangi pilihan raya Presiden Perancis dalam tempoh singkat.
“Baru aku perasan, Rafizi sebenarnya cuba meniru model startup politik Macron yang menang pilihan raya Presiden Perancis pada usia 40 tahun.
“Dalam masa singkat Macron berjaya menang pilihan raya Perancis walaupun dengan parti baharu,” katanya menerusi hantaran di Threads.
https://www.threads.com/@hariz.aiman26/post/DYrUnWOIPeA?xmt=AQG0-l2vupdwh-RhIyTtsJc8X1_W3gMka-7awOqi0hFJ27l5RO_n48_rgu_TxsAUWRiwDYM&slof=1
Hantaran tersebut turut disertakan beberapa infografik yang menjelaskan strategi politik Macron termasuk pendekatan ‘bukan kiri, bukan kanan’, kempen akar umbi berasaskan data serta penggunaan platform digital untuk mobilisasi sukarelawan.
Rafizi yang juga bekas Ahli Parlimen Pandan sebelum ini menubuhkan parti baharu dikenali sebagai Parti Bersama Malaysia (Bersama) selepas meninggalkan PKR.
Untuk rekod, Macron menubuhkan gerakan En Marche! pada April 2016 sebelum memenangi pilihan raya Presiden Perancis pada Mei 2017.
Antara strategi utama Macron ketika itu ialah membawa imej politik baharu, menampilkan diri sebagai tokoh luar daripada struktur parti tradisional serta memanfaatkan sentimen perubahan rakyat.
Bagaimanapun, dakwaan bahawa strategi tersebut boleh diadaptasi di Malaysia menerima pelbagai reaksi pengguna media sosial.
Seorang pengguna berpandangan sistem politik Malaysia berbeza dengan Perancis kerana Perdana Menteri tidak dipilih secara langsung oleh rakyat.
“Negara kita bukan sistem presiden macam Perancis. Kita tak undi presiden, kita tak undi PM,” tulis seorang pengguna.
Selain itu, ada juga pengguna yang mempersoalkan sama ada pendekatan politik reformis seperti dibawa Macron benar-benar sesuai dalam konteks politik tempatan.
Namun, terdapat juga pengguna yang mempertahankan usaha reformasi kerajaan semasa dan menyifatkan perubahan memerlukan tempoh masa sebelum hasilnya dapat dilihat.
Perdebatan tersebut sekali lagi memperlihatkan nama Rafizi terus menjadi perhatian netizen khususnya dalam kalangan pengguna Threads yang aktif membincangkan landskap politik semasa.










