KUALA LUMPUR: Sijil halal bukan lagi sekadar tanda patuh syariah, tetapi kini menjadi aset besar yang membantu perniagaan di Malaysia menarik pelanggan dari semua lapisan masyarakat.
Trend ini semakin ketara khususnya di restoran dan kedai makan popular seperti mamak yang kekal menjadi port lepak pelbagai kaum hingga lewat malam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, menegaskan bahawa pensijilan halal semakin penting kerana ia membina keyakinan bukan saja dalam kalangan pelanggan Muslim, malah masyarakat bukan Islam.
“Halal itu bukan hanya halal, tapi juga tayyib, merangkumi aspek kebersihan dan keselamatan makanan. Bila ada sijil halal, pelanggan lebih senang hati,” katanya pada satu sidang media.
Menurutnya, jaminan itu sendiri sudah cukup untuk mendorong lebih ramai memilih kedai makan bersijil halal, sekali gus membuka peluang pasaran lebih luas kepada pengusaha.
Presiden Persatuan PKS Malaysia, Chin Chee Seong, turut berkongsi bahawa 70 hingga 80 peratus permohonan sijil halal datang daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Katanya, penerimaan terhadap pensijilan halal sangat kuat kerana ia memberi kelebihan daya saing.
“Mereka kejar sijil halal kerana ia bagus untuk bisnes. Pelanggan suka sebab ia lebih bersih, lebih diyakini… terutama dari Malaysia. Sijil halal JAKIM memang tinggi nilainya,” ujarnya.
Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee, pula melihat restoran halal sebagai platform penyatu masyarakat.
“Bila semua orang tak kira latar belakang boleh makan tanpa risau bagaimana makanan disediakan, ia memudahkan interaksi sosial dan pada masa sama meluaskan pasaran restoran itu,” jelasnya.
Di pihak industri, disiplin ketat dalam proses pensijilan turut ditekankan.
Naib Presiden Perdasama, Nor Amin Mohd Noor, berkata memastikan produk bebas bahan berbahaya adalah antara faktor yang menjaga standard tinggi halal Malaysia.
“Disiplin inilah yang memastikan produk tidak selamat tak sampai ke pengguna,” katanya.
Antara yang mengambil peluang terhadap permintaan yang semakin meningkat ialah rangkaian makanan seperti Original Kayu Penang Nasi Kandar.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Burhan Mohamed, berkata kebersihan keseluruhan restoran adalah faktor utama mengekalkan kesetiaan pelanggan.
“Sijil halal bukan hanya tentang bahan masakan, tetapi kebersihan total restoran. Itu yang buat pelanggan yakin nak datang lagi,” katanya.
Walaupun manfaatnya besar, ada juga pengusaha mengadu sukar memahami syarat-syarat permohonan halal.
JAKIM mengakui menerima maklum balas bahawa prosesnya kompleks dan kadang-kadang mengelirukan.
Sebagai respon, JAKIM menegaskan komitmen mereka untuk menjadikan proses lebih telus, mudah diakses dan mesra pemohon termasuk meningkatkan saluran maklumat agar pengusaha tidak lagi ‘blur’ semasa membuat permohonan.
Kerajaan juga mengekalkan dasar bahawa pensijilan halal kekal sukarela untuk pemilik perniagaan bukan Muslim, kecuali jika operasi mereka memang menyasarkan pelanggan Muslim secara langsung.
Pada tahun 2024 sahaja, JAKIM menjalankan audit ke atas 1,825 permohonan sijil halal, menandakan ia kini menjadi keutamaan utama dalam industri makanan negara.
Dengan peningkatan permintaan dan nilai kepercayaan yang tinggi, pensijilan halal bukan sekadar memenuhi standard agama, sebaliknya menjadi strategi penting untuk bisnes yang mahu berkembang dalam landskap Malaysia yang majmuk.










