PRN Sabah: Hampir 600 Calon, Pertandingan 14 Penjuru Di DUN Tulid Jadi Tumpuan

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan seramai 596 calon sah bertanding dalam Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17, menjadikannya antara pilihan raya negeri paling padat dalam sejarah Sabah.

Pengerusi SPR, Ramlan Harun, berkata 73 daripadanya merupakan calon bebas, sementara Warisan muncul satu-satunya parti yang meletakkan calon di semua 73 kerusi.

Parti Impian Sabah mengikut rapat dengan 72 calon, manakala blok kerajaan negeri, Gabungan Rakyat Sabah (GRS), meletakkan 55 calon.

Parti-parti lain yang turut bersaing ialah:
• STAR (46)
• Barisan Nasional (45)
• Perikatan Nasional (42)
• KDM (40)
• Upko (25)
• Pakatan Harapan (22)
• Parti Kebangsaan Sabah (20)

Beberapa parti lebih kecil pula meletakkan di bawah 20 calon, termasuk PKAN (17), PPRS (16), PBK (14), Parti Rumpun Sabah (7), PMS (6), PDS (5) dan PR (5).

Tiga calon masing-masing diturunkan oleh OGAS, PBM dan Aspirasi, manakala Pejuang, BERSASA dan PPRKS hanya mengetengahkan seorang calon.

Daripada keseluruhan kerusi, Tulid mencatatkan pertembungan terbesar dengan 14 penjuru, sekali gus menjadi fokus utama PRN kali ini.

Selain itu, turut berlangsung adalah 13 pertandingan enam penjuru, 10 pertandingan tujuh dan sembilan penjuru, 9 pertandingan 10 penjuru, 8 pertandingan lapan dan lima penjuru, 6 pertandingan 11 penjuru, 4 pertandingan 13 penjuru, 2 pertandingan 12 penjuru dan 1 pertandingan empat penjuru.

Daripada 596 calon, seramai 525 adalah lelaki manakala 71 wanita.

Calon paling tua ialah Thomas Anggan, 86, dari Parti Kebangsaan Sabah yang bertanding di Bingkor.

Calon paling muda pula ialah Syafiq Iqhmal Saharudin, 24, daripada parti yang sama di Silam.

SPR turut memaklumkan bahawa 1,784,843 pengundi layak mengundi pada PRN ini.

Pengundian awal dijadualkan pada 25 November, manakala hari mengundi rasmi berlangsung pada 29 November.

BBerkaitan

Latest articles