KINABATANGAN: Kerusi DUN Lamag muncul antara gelanggang paling hangat dalam PRN17 Sabah apabila Datuk Seri Bung Moktar Radin berdepan lima pencabar dalam saingan enam penjuru yang dijangka menguji kekuatan UMNO di kawasan tradisi itu.
Bung Moktar yang mempertahankan kerusi berkenaan ditentang calon GRS, Johainizamshah Johari, dilihat pesaing utama mewakili blok kerajaan negeri, selain Mohd Saifulah Lokman (WARISAN), Mazlin Madali (PN), Salahuddin @ Salehuddin Anoi (PIS) serta calon bebas, Mohd Ismail Ayob.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Yuesri Ismail Yusof, mengumumkan senarai rasmi calon pada 10.50 pagi selepas penamaan calon ditutup di Dewan Sri Lamag.
Dua lagi kerusi dalam Parlimen Kinabatangan iaitu DUN Sukau dan DUN Kuamut turut menyaksikan saingan besar-besaran.
Di Sukau, tujuh calon bertanding termasuk Setiausaha UMNO Sabah Datuk Jafry Ariffin (BN) dan Datuk Juhari Janan (GRS), manakala Kuamut pula mempertemukan penyandang, Datuk Masiung Banah (GRS), dengan tujuh pencabar lain daripada UPKO, WARISAN, PIS, STAR, KDM, PPRS dan seorang calon bebas.
SPR menetapkan pengundian awal pada 25 November dan hari mengundi PRN17 pada 29 November.










