KUALA LUMPUR: Tekad Kerajaan MADANI dalam memerangi kartel dan penyeludupan habis-habisan ialah langkah luar biasa untuk menyelamatkan bangsa dan negara ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan isu kartel dan penyeludupan bukanlah suatu isu baharu, sebaliknya sudah berlaku sejak puluhan tahun, namun tidak dibendung kerana tiada upaya serta tekad politik.
Justeru, beliau merakamkan penghargaan kepada agensi penguat kuasa termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menjayakan kesungguhan kerajaan itu.
“(Tekad ini memberikan) risiko besar kepada SPRM, LHDN dan PDRM. Semua risiko besar kerana mereka (kartel) sudah begitu kuat, tetapi kita sentiasa bertawakal kepada Allah SWT.
“Langkah kita ambil itu langkah luar biasa … bayangkan berpuluh-puluh tahun terbiar dan puluhan bilion ringgit hilang … ukurannya (tekad ini) ialah usaha untuk menyelamatkan bangsa dan negara ini,” katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen Pengajian Islam Institut Pendidikan Tinggi (IPT) Antarabangsa 2025, hari ini.
Turut hadir, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Dekan Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim.
Anwar turut menyelar tindakan segelintir individu yang membisu dengan kejayaan agensi penguat kuasa menumpaskan kartel dan penyeludupan di negara ini.
“Kalau dengar perbicaraan (perbahasan) di Parlimen tidak ada yang bersuara … boleh kata beberapa Ahli Parlimen penyokong kerajaan (menyokong usaha banteras kartel), tetapi sebelah sana (pembangkang) langsung tiada.
“Saya berterima kasih kepada SPRM dan polis yang menjalankan tugas selamatkan negara kita. Penyeludupan saya (pernah) sebut di Parlimen, (antaranya) kontena keluar masuk di pelabuhan puluhan tahun dengan seludup barang masuk dan barang keluar,” katanya.
Sebelum ini, Anwar menegaskan komitmen kerajaan untuk terus membersihkan negara daripada rasuah, penyelewengan dan kegiatan kartel, susulan kejayaan penguatkuasaan tegas yang berjaya mengembalikan hasil negara mencecah RM15.5 bilion dalam tempoh dua tahun.
Sementara itu, Perdana Menteri menggesa pelajar di Fakulti Pendidikan Islam untuk menggunakan teknologi terkini termasuk kecerdasan buatan (AI) sebagai usaha baharu memperkasakan syiar Islam.
“Sebaiknya mereka (pelajar) harus ada juga satu bidang khusus, (sekarang) kita ada pelbagai disiplin termasuk soal teknologi komputer AI,” kata beliau.
Konvensyen Pengajian Islam IPT Antarabangsa 2025 ialah perhimpunan ilmuwan dan pemimpin akademik negara dalam menzahirkan keutuhan ilmu, hikmah dan perpaduan dalam memperkasakan pengajian Islam di Malaysia.










