Anwar Tempelak Pembangkang Angkat Bekas Jeneral Thailand Jadi Hero Isu Rundingan Damai

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak pernah menghalang mana-mana pihak untuk mengkritik peranannya dalam rundingan Perjanjian Damai Kuala Lumpur bagi menghentikan konflik Thailand–Kemboja.

Namun, Anwar membidas tindakan segelintir pemimpin pembangkang yang didakwa menjadikan bekas jeneral tentera Thailand sebagai ‘hero’ semata-mata untuk menggambarkan kononnya Malaysia gagal memainkan peranan dalam rundingan tersebut.

“Kalau ada bekas jeneral yang tak pernah menang pilihan raya nak bersuara, itu hak dia. Tapi kalau ahli Parlimen Malaysia pula angkat dia jadi hero, itu yang pelik,” katanya dalam sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Anwar, beliau berunding secara rasmi dengan Perdana Menteri Thailand dan kerajaan sah negara itu, bukan dengan mana-mana individu yang tidak mempunyai kuasa politik.

“Dalam mana-mana perjanjian pun akan ada yang setuju dan tidak setuju, sama seperti dalam negara kita. Tapi kalau sampai ada yang berdoa rundingan gagal semata-mata nak tunjuk Perdana Menteri Malaysia tak berjaya, itu sikap yang amat merugikan,” tegasnya.

Anwar turut melahirkan rasa kesal terhadap sikap segelintir ahli politik tempatan yang dilihat bermain api diplomasi dengan melaga-lagakan hubungan Malaysia bersama negara jiran demi kepentingan politik sempit.

“Yang kita nak doa ialah keamanan, bukan kegagalan. Kalau Thailand dan Kemboja terus bergolak, kesannya tetap sampai kepada kita,” ujarnya.

Perdana Menteri turut memaklumkan bahawa hubungan beliau dengan Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul, dan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, kekal baik dan berterusan dalam konteks diplomasi damai yang dijalankan Malaysia.

Katanya, komunikasi antara ketiga-tiga pemimpin masih aktif dan usaha mencari titik tengah antara kedua-dua negara diteruskan secara berhemah.

Terdahulu, Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim meminta Anwar menjelaskan kritikan seorang bekas jeneral Thailand, Rangsi Kitiyanasap, yang tular di media antarabangsa kerana mendakwa Malaysia gagal menguruskan rundingan tersebut.

Shahidan turut menyoal tindakan Perdana Menteri Thailand yang dilaporkan menolak cadangan Malaysia untuk menghantar lebih ramai pasukan pengaman ke sempadan Kemboja–Thailand.

Anwar bagaimanapun menegaskan bahawa rundingan masih diteruskan secara rasmi di peringkat kerajaan dan sebarang kenyataan individu tidak menggambarkan pendirian sebenar Thailand.

BBerkaitan

Latest articles