Cabul Wanita, Bekas Pesuruhjaya Kehakiman Tak Mengaku Salah

PETALING JAYA: Seorang bekas pesuruhjaya kehakiman mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret semalam atas dua pertuduhan mencabul kehormatan seorang wanita berusia 28 tahun dalam dua kejadian berasingan yang berlaku pada hari sama, Januari lalu.

Tertuduh, Datuk Mohamad Shariff Abu Samah, 63, yang kini berkhidmat sebagai penasihat undang-undang sebuah badan korporat, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Farah Azura Mohd. Saad.

Mengikut pertuduhan pertama, Mohamad Shariff didakwa melakukan perbuatan berunsur gangguan seksual terhadap mangsa antara 3.45 petang hingga 4 petang pada 6 Januari lalu, di laluan dari kawasan parkir sebuah pusat komersial di Seksyen 16 menuju ke Kompleks Jaya One, Jalan Profesor Diraja Ungku Aziz.

Pertuduhan kedua pula melibatkan kejadian antara 4.45 petang hingga 4.55 petang hari sama di ruang lobi sebuah premis perniagaan dalam kompleks sama.

Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang membawa hukuman penjara hingga 10 tahun, denda, sebatan, atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin, selepas peguam bela Syed Azharul Asiq merayu agar jumlah yang dicadangkan pihak pendakwa iaitu RM8,000 bagi setiap pertuduhan dikurangkan.

Majistret kemudian menetapkan 13 Januari tahun depan untuk sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin bersama Aqharie Durranie Aziz.

BBerkaitan

Latest articles