KOTA KINABALU: Saksi ke-32 inkues kematian pelajar Tingkatan 1 memberitahu Mahkamah Koroner Kota Kinabalu, Zara Qairina Mahathir mendakwa diganggu seorang pelajar perempuan ‘tomboy’ yang obses terhadapnya.
Peguam Mohd Syarulnizam Mohd Salleh berkata, saksi merupakan kawan rapat Zara sejak bersekolah di sekolah agama rendah negeri dan mereka berada di kelas agama sama.
Katanya, saksi memberitahu sepanjang persahabatan mereka, dia menyedari Zara seorang mudah cemburu sebagai contohnya jika saksi rapat dengan orang lain.
“Saksi berkata, Zara pernah memaklumkan bahawa dia diganggu oleh seorang pelajar perempuan ‘tomboy’ di sekolah menengah yang terlalu obses dengannya, hingga melakukan perbuatan tidak senonoh semasa Zara tidur dan hampir ikut Zara mandi sekali dalam bilik yang sama.
“Selain itu, saksi juga memaklumkan bahawa pada Jun 2025, Zara telah menggunakan akaun TikTok milik saksi untuk menghantar mesej kepada seseorang yang tidak dikenali dengan tujuan menasihati individu tersebut supaya tidak mengganggu Zara di sekolah dan di akaun TikTok miliknya,” katanya menurut Sinar Harian di pekarangan Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu, semalam.
Saksi berkenaan memberi keterangannya secara ‘in camera’ di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.
Katanya, saksi juga memaklumkan pada Mei tahun lalu mereka mula menulis diari bersama yang digunakan secara bergilir-gilir.
“Saksi dan Zara menulis tentang persahabatan mereka dalam diari dikongsi bersama.
“Selain saksi dan Zara, tidak ada orang lain yang boleh membaca diari ini. Kali terakhir saksi nampak diairi tersebut adalah Februari 2025,” katanya.
Syarulnizam bersama rakan sepasukannya iaitu Shahlan Jufri, Rizwandean M Borhan, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Farrah Nasser, dan Elhanan James mewakili ibu Zara, Noraidah Lamat.
Zara ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sekolahnya pada awal pagi 16 Julai lalu sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth (HQE) keesokannya.










