JOHOR BAHRU: Desas-desus mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor semakin kuat apabila satu sidang khas Dewan Undangan Negeri (DUN) dijangka berlangsung pada 24 Jun depan, dipercayai bagi membuka laluan kepada pembubaran DUN negeri itu.
Maklumat mengenai persediaan menghadiri sidang khas berkenaan difahamkan sudah mula tersebar dalam kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menerusi aplikasi WhatsApp, sekali gus mencetuskan spekulasi bahawa PRN Johor bakal diadakan dalam masa terdekat.
Perkembangan tersebut hadir sehari selepas Menteri Besar Johor yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan gabungan itu akan meletakkan calon di kesemua 56 kerusi DUN pada PRN akan datang.
Langkah itu bukan sahaja menghangatkan lagi suasana politik negeri, malah mencetuskan pelbagai reaksi mengenai hala tuju kerjasama politik di Johor menjelang pilihan raya.
ADUN Pemanis, Anuar Abd Mantap ketika dihubungi memaklumkan beliau bersedia menghadiri sidang khas sekiranya menerima arahan rasmi daripada pihak Dewan.
Menurutnya, setakat ini belum ada sebarang surat rasmi dikeluarkan oleh pejabat jurutulis DUN berhubung perkara tersebut.
“Kalau ada arahan rasmi untuk hadir bersidang, saya akan hadir dan buat persiapan sewajarnya. Namun sehingga kini, belum ada sebarang surat rasmi diterima.
“Kebiasaannya, makluman berkaitan sidang akan disampaikan secara bertulis oleh pejabat jurutulis. Selagi belum ada kenyataan rasmi, saya tidak boleh mengesahkan atau menafikan sidang khas itu akan berlangsung pada Jun,” katanya memetik laporan Malaysia Gazette.
Semalam, Onn Hafiz memaklumkan keputusan BN Johor untuk bertanding di semua 56 kerusi dibuat selepas mengambil kira pandangan akar umbi serta hasil perbincangan bersama pucuk pimpinan parti.
Beliau berkata, keputusan tersebut dibuat dengan penuh rasa tanggungjawab demi memastikan BN terus mendapat mandat rakyat pada PRN akan datang.










