PERAI: Seorang lelaki berusia 48 tahun berdepan detik cemas apabila tindakannya terjun dari Jambatan Pulau Pinang dipercayai bagi cubaan membunuh diri, sempat diselamatkan orang awam pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.03 pagi di Kilometer 2.2 jambatan arah ke pulau itu, mangsa dilaporkan meninggalkan kenderaannya di atas jambatan sebelum bertindak terjun ke laut.
Namun, nasib menyebelahinya apabila beberapa pemancing yang berada berhampiran lokasi kejadian menyedari insiden itu dan segera bertindak menyelamatkannya.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perai bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan.
“Pasukan kami membantu menenangkan mangsa sebelum menyerahkannya kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Operasi penyelamatan selesai sepenuhnya sekitar jam 11.26 pagi.










