Bebas Dari Penjara, Anak Abuya Anggap Temph Pemenjaraan Ujian Dari Allah

KAJANG: Anak kepada bekas pengasas Al-Arqam, Mohammad Adib At-Tamimi Asa’ari, menzahirkan rasa syukur selepas selesai menjalani hukuman penjara 15 bulan berhubung penglibatannya sebagai ahli kumpulan perniagaan Global Ikhwan Sdn. Bhd. (GISBH) yang diisytiharkan menyalahi undang-undang.

Mohammad Adib, yang merupakan antara 13 kepimpinan tertinggi GISBH dibebaskan semalam berkata beliau tidak menyalahkan mana-mana pihak atas apa yang berlaku dan menganggapnya sebagai ujian daripada Allah S.W.T.

“Kami tak salahkan sesiapa. Allah nak didik kami supaya lebih kuat. Selama ini kami banyak belajar, dan akan terus belajar,” katanya ketika ditemui di luar Kompleks Penjara Kajang, petang semalam.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia dan rakan-rakan yang mendoakan mereka sepanjang tempoh tahanan.

Semua 13 individu lelaki terbabit, termasuk Ketua Pegawai Eksekutif GISBH, Nasiruddin Mohd. Ali, selesai menguruskan dokumentasi pembebasan sebelum dibawa keluar sekitar 5.40 petang.

Menurut sumber, tempoh hukuman 15 bulan mereka dikira selesai selepas mengambil kira hari kelepasan am dan cuti hujung minggu, seperti amalan biasa terhadap banduan.

Sementara itu, sembilan wanita yang turut didakwa dalam kes sama memilih untuk membayar denda RM4,500 masing-masing.

Antara mereka ialah Hamimah Yakub, 72, bekas akauntan GISBH, yang mengaku insaf dan bertekad untuk tidak lagi dikaitkan dengan kumpulan itu.

“Dalam tempoh setahun ini saya tiada lagi hubungan dengan GISBH. Tahanan reman memberi peluang untuk saya muhasabah diri,” katanya sambil menzahirkan penghargaan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC), peguam serta pihak berkuasa yang membantunya.

Peguamnya, Muhammad Nor Tamrin, memaklumkan Hamimah merupakan tertuduh pertama yang dibenarkan ikat jamin pada Januari lalu dan telah mengikuti program pemulihan anjuran JAKIM.

Beliau berharap tiada lagi isu berbangkit selepas ini kerana anak guamnya telah menginsafi kesilapan lalu dan berusaha memperbetulkan diri.

BBerkaitan

Latest articles