SEREMBAN: Seorang guru yang juga warden asrama di sebuah sekolah di Batu Kikir, Jempol dihadapkan ke Mahkamah Sesyen semalam atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar lelaki berusia 13 tahun pada tahun lalu.
Tertuduh, Nazrulhisham Mahmud, 46, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datin Surita Budin.
Berdasarkan kertas pertuduhan, guru itu didakwa melakukan perbuatan berunsur amang seksual terhadap mangsa di dua lokasi berbeza di kawasan sekolah terbabit iaitu di bilik rehat warden pada 18 Mei dan 12 Jun 2024, serta di bilik sukan ragbi pada 25 Mei tahun sama.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) dan 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, dibaca bersama Seksyen 16 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Nurul Balkis Zunaidi mencadangkan jaminan sebanyak RM30,000 bagi setiap pertuduhan dengan beberapa syarat tambahan, namun peguam Nabila Hamzah memohon jumlah lebih rendah dengan alasan tertuduh mempunyai tiga anak kecil dan menanggung ibu bapa uzur.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan syarat perlu melapor diri di balai polis berdekatan, tidak mengganggu saksi, serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Kes akan disebut semula pada 16 Disember depan bagi penyerahan dokumen dan laporan perubatan.










