CYBERJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau kini berada dalam keadaan sihat dan kembali menjalankan tugas rasmi seperti biasa selepas dilaporkan mengalami masalah sakit belakang baru-baru ini.
Ketika ditanya mengenai keadaan kesihatannya selepas merasmikan Malaysia Semikonduktor IC Design Park 2 di sini, hari ini, Anwar menjawab ringkas namun positif:
“Kesihatan saya? Alhamdulillah. Bagaimana dengan tulang belakang? I am good.”
Sebelum ini, Anwar terpaksa membatalkan lawatan kerja ke Pahang pada Ahad lalu atas nasihat pasukan perubatan selepas mengalami kesakitan yang menyebabkan pergerakannya terbatas.
Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan memaklumkan keputusan itu dibuat pada saat akhir bagi membolehkan beliau berehat dan mendapatkan rawatan lanjut.
Terdahulu, Anwar baru pulang dari lawatan kerja tiga hari ke Korea Selatan, di mana beliau mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi (AELM) Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC).
Dalam perkongsian di media sosial pada 3 November lalu, Perdana Menteri memuat naik gambar beliau bersama cucu dengan kapsyen “Healing dengan cucu. Alhamdulillah, kian beransur pulih. Terima kasih atas doa semua,” menunjukkan beliau memanfaatkan masa rehat untuk pemulihan kesihatan.










