KUALA LUMPUR: Pertubuhan Muslim Friendly Watch (MFW) diumumkan dibubarkan serta-merta, sekali gus menamatkan semua operasi dan sistem di bawahnya susulan arahan daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
MFW dalam satu kenyataan hari ini berkata, keputusan itu dibuat sebagai tanda patuh kepada pihak berkuasa agama dan mengambil tanggungjawab terhadap kekeliruan yang timbul berhubung sistem “Muslim Choice” yang mencetuskan perdebatan umum baru-baru ini.
“Langkah ini diambil dengan penuh keinsafan bagi menjaga kemaslahatan ummah dan nama baik Islam di negara ini. Pembubaran ini juga akan dilakukan secara sah di bawah Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335), dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS),” katanya.
Keputusan itu dibuat hanya beberapa hari selepas Presidennya, Noorman Kamsani tampil memohon maaf secara terbuka kepada rakyat Malaysia dan umat Islam atas kekeliruan yang berlaku berkaitan sistem pengiktirafan “Muslim Choice”.
Sebelum ini, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee menjelaskan bahawa penggunaan istilah seperti “Muslim Choice” tidak membawa sebarang perakuan atau penandaan halal yang diiktiraf kerajaan.
Beliau turut menegaskan bahawa sistem diperkenalkan MFW boleh mengelirukan masyarakat mengenai status halal sesuatu produk atau premis.
Menurut kenyataan MFW, pihaknya akur dan menerima keputusan pihak berkuasa agama dengan hati terbuka serta penuh rasa tanggungjawab.
“Kami menyedari bahawa setiap keputusan yang dibuat pihak berkuasa berlandaskan kepentingan agama, keharmonian masyarakat dan sensitiviti umat Islam. Justeru, kami memohon ampun dan maaf kepada seluruh rakyat Malaysia, agensi kerajaan serta mana-mana pihak yang terkesan akibat kekeliruan ini,” ujar kenyataan itu lagi.
MFW turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang memberi panduan dan teguran sepanjang proses tersebut, selain berjanji untuk terus menyumbang kepada masyarakat secara lebih berhati-hati serta berpaksikan garis panduan agama.
“Semoga Allah SWT memberi petunjuk dan rahmat kepada semua yang berusaha menjaga kemuliaan agama dan kesejahteraan ummah,” tambah kenyataan itu.










