MELAKA: Seorang peniaga durian berusia 23 tahun maut selepas dipercayai terjun dari tingkat empat bangunan tempat letak kereta Plaza Melaka Raya, Banda Hilir, tengah hari semalam.
Mangsa ditemukan tidak bernyawa di atas jalan oleh orang awam sekitar jam 12.40 tengah hari.
Siasatan awal mendapati lelaki tempatan itu dipercayai mengalami tekanan akibat perniagaannya yang merosot sejak beberapa hari lalu.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit, berkata sebelum kejadian, mangsa sempat keluar makan bersama teman wanitanya di sebuah restoran di Kota Laksamana.
“Menurut kekasihnya, sejak tiga hingga empat hari kebelakangan ini, mangsa sering meluahkan rasa sedih dan tertekan selepas perniagaan duriannya di kawasan Bukit Cina kurang mendapat sambutan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Christopher menjelaskan, selepas makan, mangsa membawa teman wanitanya menaiki kenderaan pacuan empat roda ke Plaza Melaka Raya, dan berhenti di tingkat empat tempat letak kereta dengan alasan mahu ke tandas.
“Namun sebaik keluar dari kenderaan, mangsa tiba-tiba berlari ke arah tepi bangunan sebelum terjatuh. Teman wanitanya tidak sempat menghalang,” katanya.
Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan Hospital Melaka.
Polis mengesahkan tiada unsur jenayah dalam insiden tersebut dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
Mayat dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian.










