Polis Siasat Kes Budak 12 Tahun Dipukul, Tiga Lelaki Ditahan

KUALA LUMPUR: Polis menahan tiga lelaki bagi membantu siasatan insiden seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun dipukul sekumpulan individu di sebuah medan selera di ibu negara baru-baru ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, siasatan bermula selepas pihaknya mengesan satu hantaran tular di media sosial mengenai kejadian itu.

“Hasil siasatan awal mendapati insiden berpunca daripada tuduhan sekumpulan suspek terhadap mangsa yang kononnya mencuri sebuah power bank milik rakan kepada salah seorang daripada mereka,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, mangsa kemudian dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan dan disahkan mengalami luka kecil pada dahi serta mulut.

Menurutnya, kes berkenaan direkodkan di bawah laporan Setapak 17850/25 dan disiasat mengikut Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan serta melakukan ugutan jenayah.

“Siasatan lanjut membawa kepada penahanan tiga suspek lelaki tempatan berusia antara 49 hingga 61 tahun di lokasi berasingan di Kelantan dan Kuala Lumpur,” jelasnya.

Tambah Nik Ros Azhan, siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian serta peranan setiap suspek dalam insiden tersebut.

Polis turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang andaian atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu proses siasatan.

BBerkaitan

Latest articles