KUALA LUMPUR: Krisis dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) terus memuncak apabila 16 Ahli Parlimen parti itu menzahirkan bantahan terbuka terhadap beberapa keputusan kepimpinan tertinggi, termasuk pemecatan dan penggantungan dua rakan mereka baru-baru ini.
Dalam surat dua muka surat bertarikh 23 Oktober, kumpulan Ahli Parlimen tersebut menyatakan kebimbangan mendalam terhadap keadaan semasa parti yang disifatkan “semakin parah” dan berisiko menjejaskan kekuatan Perikatan Nasional (PN) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 29 November ini.
Mereka menegaskan, tindakan memecat Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan dan menggantung keahlian Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal adalah “tidak bijak” serta memberi kesan buruk kepada imej dan momentum sokongan rakyat terhadap Bersatu.
Menurut mereka, keputusan drastik itu tidak hanya melemahkan semangat akar umbi, malah menyukarkan usaha PN untuk menawan hati pengundi Sabah.
Kumpulan 16 Ahli Parlimen itu turut mempertikai tindakan parti memanggil Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, ke Lembaga Disiplin sebagai sesuatu yang mereka anggap tidak masuk akal dan boleh mencetuskan perpecahan lebih besar dalam parti.
“Tindakan ini tidak berasas dan hanya menambah kekeliruan serta ketegangan dalam kalangan ahli,” tegas surat berkenaan.
Kumpulan berkenaan merayu agar Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, segera campur tangan bagi meredakan keadaan dan memulihkan semula perpaduan dalam parti.
“Kami percaya Tan Sri berjiwa besar dan mampu memahami kebimbangan ini. Jangan biarkan Bersatu menjadi mangsa keegoan mana-mana pemimpin,” ujar mereka dalam surat itu.










