Ibu Bapa Kanak-kanak Kena Kelar Ditahan Bantu Siasatan, Mangsa Kini Stabil

BATU PAHAT: Polis menahan pasangan suami isteri bagi membantu siasatan insiden menyayat hati membabitkan seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang cedera parah akibat dikelar senjata tajam di Parit Raja.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, kedua-dua suspek berusia 41 tahun itu ditahan di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat sekitar jam 4 petang semalam.

“Penahanan dibuat untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana pengabaian yang menyebabkan kecederaan fizikal atau emosi, selain Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Difahamkan, siasatan kini difokuskan kepada punca sebenar kejadian yang menyebabkan mangsa mengalami kecederaan serius di leher.

Penahanan ibu bapa berkenaan bertujuan melengkapkan siasatan sebelum tindakan lanjut diambil.

Dalam pada itu, Shahrulanuar memaklumkan keadaan kanak-kanak terbabit kini semakin stabil dan sudah mampu bercakap selepas menjalani pembedahan di leher.

Mangsa masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) dan memerlukan pemantauan rapi daripada pasukan perubatan.

Terdahulu, polis menerima laporan daripada ibu mangsa sekitar jam 9 pagi kelmarin selepas wanita itu mendapati anaknya berlumuran darah dengan kesan kelaran di leher sebaik bangun tidur kira-kira jam 5.30 pagi di rumah mereka.

BBerkaitan

Latest articles