Pergaduhan Di Kedai Makan – Sembilan Termasuk Remaja Ditahan

BATU PAHAT: Suasana di sebuah kedai makan di Rengit, Batu Pahat, malam kelmarin bertukar kecoh apabila pergaduhan melibatkan sekumpulan lelaki tercetus akibat isu bising hingga mengganggu pelanggan lain.

Insiden kira-kira jam 10.30 malam itu dipercayai bermula apabila seorang daripada suspek menunggang motosikal sambil membuat bising di kawasan berkenaan, mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan pengunjung.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani, berkata sembilan lelaki termasuk seorang remaja berusia antara 18 hingga 35 tahun telah ditahan tidak lama selepas kejadian.

“Kesemua suspek ditahan sekitar jam 12.10 tengah malam bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh. Mereka direman selama empat hari sehingga Khamis ini,” katanya ketika dihubungi.

Sebelum tangkapan dibuat, rakaman video berdurasi 1 minit 40 saat yang tular di media sosial menunjukkan kumpulan terbabit bertengkar sebelum keadaan menjadi semakin tegang apabila sebuah motosikal diterbalikkan.

Pertengkaran itu kemudian bertukar menjadi pergaduhan apabila beberapa individu melempar meja, kerusi dan topi keledar, menyebabkan kerosakan di premis makan tersebut.

Orang ramai, termasuk pelanggan yang sedang menjamu selera, dilihat cuba menenangkan keadaan sebelum pihak polis tiba di lokasi kejadian.

Polis menggesa orang awam agar tidak membuat sebarang spekulasi dan menyeru sesiapa yang mempunyai maklumat tambahan mengenai kejadian itu supaya tampil membantu siasatan.

BBerkaitan

Latest articles