Trump Puji Anwar Main Peranan Perdamaian Thailand-Kemboja

KUALA LUMPUR: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memuji kepimpinan dan peranan penting Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam membantu menjayakan usaha damai antara Thailand dan Kemboja, dua negara jiran yang sekian lama berdepan ketegangan di sempadan.

Menurut Trump, inisiatif diplomasi yang diterajui Anwar telah membuka jalan kepada rundingan rasmi di Kuala Lumpur, sekali gus menamatkan kebuntuan berdekad lamanya antara kedua-dua negara.

“Ia bermula dengan komitmen teguh Datuk Seri Anwar terhadap keamanan dan kestabilan di rantau ASEAN,” kata Trump ketika berucap pada majlis menandatangani Perjanjian Damai Kuala Lumpur, hari ini.

Trump menegaskan, campur tangan Malaysia menerusi pendekatan diplomatik yang seimbang berjaya meyakinkan kedua-dua pihak untuk duduk semeja dan mencari penyelesaian tanpa pertumpahan darah.

“Anwar memainkan peranan utama dalam membawa Thailand dan Kemboja ke meja rundingan. Langkah ini bukan sahaja menghentikan konflik lama, tetapi juga memperkukuh kestabilan serantau,” katanya.

Majlis menandatangani Perjanjian Damai Kuala Lumpur itu menandakan permulaan era baharu hubungan diplomatik antara Thailand dan Kemboja, dengan Malaysia menjadi tuan rumah kepada detik bersejarah tersebut.

BBerkaitan

Latest articles