TUMPAT: Pertikaian lama berkaitan tanah pusaka dan dakwaan penyebaran video tidak senonoh anak suspek dipercayai menjadi punca utama kejadian tragis yang meragut nyawa seorang pemandu jengkaut di Kampung Kok Bedullah, malam tadi.
Mangsa, Mohd Suhairi Hashim, 46, maut selepas ditetak bertubi-tubi menggunakan parang panjang oleh seorang lelaki berusia 45 tahun yang juga sepupu kepada isterinya.
Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd Khairi Shafie, berkata siasatan awal mendapati suspek bertindak menyerang mangsa ketika lelaki itu sedang membersihkan jengkaut di luar rumahnya.
“Motif pembunuhan dipercayai berpunca daripada dendam lama membabitkan isu tanah pusaka dan kemarahan suspek terhadap video anaknya yang didakwa telah disunting secara tidak senonoh sebelum ditularkan,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Menurut Mohd Khairi, serangan ganas itu menyebabkan kecederaan parah di kepala, selain tangan kiri dan kaki kanan mangsa putus akibat tetakan bertubi-tubi.
“Pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati terdapat kesan kecederaan serius pada kepala, kaki kanan serta lengan kiri mangsa yang dipercayai ditetak menggunakan parang panjang,” katanya.
Susulan kejadian, polis berjaya menahan suspek di rumahnya tidak lama selepas itu bersama sebilah parang panjang yang dipercayai digunakan dalam serangan berkenaan.
Suspek kini direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) kerana membunuh.










