KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menggesa negara-negara anggota ASEAN agar berani meneroka bentuk kerjasama baharu dan berpandangan jauh bagi memastikan rantau ini terus berdaya tahan menghadapi cabaran global yang semakin kompleks.
Menegaskan bahawa ASEAN tidak boleh selesa dengan pencapaian lalu, Anwar berkata hanya dengan penyesuaian dan inovasi berterusan, blok serantau itu mampu kekal relevan dan berpengaruh dalam landskap ekonomi dunia yang berubah pantas.
“ASEAN tidak boleh berada pada tahap yang sama. Daya tahan kita bergantung kepada keupayaan untuk menyesuaikan diri dengan perubahan, sama ada dari segi dasar perlindungan yang semakin meningkat atau gangguan dalam rantaian bekalan global,” katanya ketika mempengerusikan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur, hari ini.
Beliau menegaskan bahawa keamanan dan kemakmuran yang dinikmati ASEAN selama hampir enam dekad tidak datang secara automatik, sebaliknya perlu sentiasa diperbaharui melalui kerjasama kukuh dan matlamat bersama antara negara anggota.
“Kita perlu memperkukuh hubungan ekonomi, memperluas perdagangan dan meningkatkan daya saing agar ASEAN terus menjadi rantau yang stabil dan makmur,” katanya.
Dengan membawa tema “Keterangkuman dan Kemampanan”, Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 menekankan keperluan untuk memastikan pembangunan serantau memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengabaikan kelestarian masa depan.
Dalam sidang kemuncak itu juga, Anwar mengumumkan pelancaran Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA) yang dinaik taraf, inisiatif baharu yang dijangka memperkukuh integrasi ekonomi serantau dengan mewujudkan pasaran lebih terbuka, cekap dan mudah diakses.
Perjanjian tersebut bakal memberi manfaat langsung kepada sektor perniagaan dan tenaga kerja, selain meningkatkan keupayaan ASEAN sebagai pusat ekonomi yang kompetitif di peringkat global.










