SEREMBAN: Seorang pekebun getah dijatuhi denda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen pada Khamis selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mencabul kehormatan anak kepada rakannya di Kuala Pilah, Februari lalu.
Hakim Datin Surita Budin menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Mohd Zaib Zakaria, 57, dan memerintahkan hukuman penjara lima bulan sekiranya denda berkenaan gagal dijelaskan.
Berdasarkan pertuduhan, Mohd Zaib didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang remaja perempuan berusia 14 tahun dengan niat mencabul kehormatannya di sebuah kedai makan di Kampung Jawa, Taman Pilah Jaya, kira-kira jam 11.30 malam pada 4 Februari lalu.
Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan, atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut jika sabit kesalahan.
Menurut fakta kes, ketika kejadian, mangsa berada di dalam kereta ibunya yang diparkir di hadapan kedai makan berkenaan sebelum tertuduh datang dari belakang, memeluk dan mencabulnya.
Peguam bela Mohamad Zahid Ahmad yang mewakili tertuduh memohon hukuman ringan dengan alasan anak guamnya telah berkahwin, mempunyai empat anak serta menghidap penyakit tiga serangkai.
“Tertuduh baru menjalani pembedahan di kaki selain menjaga abangnya berusia 62 tahun yang merupakan orang kurang upaya (OKU) lembam. Pengakuan bersalahnya juga menunjukkan dia bertanggungjawab atas perbuatannya,” katanya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Balkis Zunaidi, memohon hukuman setimpal kerana kesalahan yang dilakukan bersifat serius dan melibatkan mangsa bawah umur yang masih bersekolah.
Mahkamah kemudian menjatuhkan denda RM5,000 terhadap tertuduh dan memerintahkan hukuman penjara selama lima bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.










