KUALA LUMPUR— Pasukan pembelaan dalam perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang melibatkan Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak hari ini berhujah bahawa dapatan mahkamah pada peringkat pendakwaan terdahulu telah terkhilaf apabila menerima tarikh 26 September 2009 sebagai asas kepada dakwaan salah guna kuasa.
Menurut Datuk Hasnal Rezua Merican, , mahkamah ketika itu mendapati Najib telah mengarahkan lembaga pengarah 1MDB melalui panggilan telefon kepada pengerusinya, Tan Sri Bakke Salleh, supaya meluluskan projek usaha sama dengan PetroSaudi International Limited.
“ Pada 26 September 2009, kamu iaitu Dato’ Sri Najib telah mengarahkan lembaga pengarah 1MDB yang akan mengadakan mesyuarat khasnya pada hari itu di Royal Bintang Damansara untuk meluluskan satu resolusi memberi kuasa kepada 1MDB untuk mengambil bahagian di dalam suatu projek usaha sama ataupun joint venture dengan PetroSaudi International Limited dengan cara memasukkan atau membuat pelaburan modal sebanyak 1 bilion USD untuk mendapatkan 1 bilion saham di dalam sebuah syarikat joint venture.”
Namun, hujahan pembelaan hari ini menunjukkan bahawa keputusan lembaga 1MDB berhubung projek itu sebenarnya telah dibuat lapan hari lebih awal, iaitu pada 18 September 2009, sebelum panggilan telefon tersebut berlaku.
Katanya, Pasukan Pembelaan Datuk Seri Najib menegaskan bahawa dalam mesyuarat 18 September 2009, lembaga 1MDB telah mendengar pembentangan oleh Casey Tang Keng Chee dan Shahrul Azral Ibrahim Halim, serta memutuskan untuk meneruskan rundingan bagi menubuhkan usaha sama dengan PetroSaudi.
Pada hari yang sama, syarikat 1MDB PetroSaudi Limited telahpun ditubuhkan di British Virgin Islands, dan dua hari kemudian, seorang penilai tenaga, Edward Elmos, menghantar surat kepada 1MDB untuk melaksanakan penilaian aset PetroSaudi.
Selain itu, pada 25 September 2009, sehari sebelum panggilan telefon Dato’ Sri Najib, lembaga 1MDB telah meluluskan pembukaan akaun bank bersama di BSI Switzerland, sekali gus membuktikan bahawa keputusan utama dan langkah pelaksanaan telah pun diambil lebih awal.
Tiada Arahan Meluluskan, Hanya Untuk Pertimbangan
Menurut beliau lagi, panggilan telefon Dato’ Sri Najib kepada Tan Sri Bakke hanya meminta lembaga pengarah mempertimbangkan cadangan PetroSaudi yang disifatkan sebagai projek penting bersifat kerajaan dengan kerajaan (G2G), dan bukannya arahan untuk terus meluluskan perjanjian tersebut.
Tan Sri Bakke dalam keterangannya turut mengesahkan bahawa beliau hanya menjawab,
“I would inform the other board members and we will look into it.”
Jelas Hasnal apa yang Perlu diperhatikan, adalah apa yang disebut sebagai “arahan” oleh Dato’ Sri Najib ini sebenarnya hanyalah permintaan supaya lembaga pengarah mempertimbangkan cadangan tersebut dan membuat keputusan mengenainya. Beliau tidak mengarahkan lembaga untuk meluluskan cadangan itu.
Tan Sri Bakke sendiri tidak merasa terikat dengan kata-kata Dato’ Sri Najib. Beliau hanya menjawab akan memaklumkan kepada ahli lembaga lain dan menelitinya. Tiada komitmen bahawa cadangan itu akan dilaksanakan.
Malah, resolusi yang diluluskan lembaga pada 26 September 2009 menyatakan bahawa penyertaan dalam projek usaha sama itu adalah tertakluk kepada beberapa syarat, termasuk keperluan penilaian bebas ke atas aset PetroSaudi, bukan kelulusan muktamad.
fakta penting yang dibangkitkan Pihak pembelaan mengenai beberapa tindakan lembaga 1MDB sebelum 26 September:
-
Pada 18 September 2009, iaitu lapan hari lebih awal, lembaga 1MDB telah mengadakan mesyuarat di mana Casey Tang Keng Chee (Ketua Pembangunan Perniagaan 1MDB) dan CEO Shahrol Azral membuat pembentangan mengenai cadangan usaha sama dengan PetroSaudi International Limited.
-
Lembaga bersetuju untuk memulakan rundingan dan melantik Tan Sri Bakke serta Shahrol Azral sebagai wakil korporat dalam syarikat JV.
-
Pada tarikh yang sama, syarikat JV bernama 1MDB PetroSaudi Limited telahpun ditubuhkan di British Virgin Islands — lapan hari sebelum panggilan telefon Dato’ Sri Najib.
-
Pada 20 September, seorang konsultan bernama Edward Elmos telah menghantar surat kepada 1MDB menawarkan khidmat untuk menilai aset-aset PetroSaudi.
-
Pada 25 September, sehari sebelum mesyuarat, lembaga 1MDB meluluskan resolusi membuka akaun bank bersama (joint account) di BSI Bank, Switzerland atas nama 1MDB PetroSaudi Limited.
Dapatan Mahkamah Dianggap Tidak Menyeluruh
Pembelaan berhujah bahawa dapatan mahkamah terdahulu yang menyimpulkan Najib memberi arahan melalui panggilan telefon itu telah mengabaikan keseluruhan rentetan peristiwa sebelum dan selepas tarikh tersebut.
Hujahan menyebut bahawa tindakan-tindakan penting termasuk pembentangan projek, pelantikan wakil korporat, penubuhan syarikat JV, dan pembukaan akaun bank semuanya berlaku sebelum 26 September, sekali gus menolak dakwaan bahawa panggilan Najib menjadi pencetus kepada pelaksanaan usaha sama tersebut.
Menurutnya dua hari selepas itu, pada 28 September 2009, CEO 1MDB Shahrul Azral menandatangani perjanjian usaha sama dengan PetroSaudi Holdings (Cayman) Limited, bukan entiti asal yang dibentangkan kepada lembaga.
Tindakan tersebut, termasuk arahan pemindahan wang oleh Ketua Pegawai Kewangan (CFO) Radzi Muhammad, dilakukan tanpa sebarang bukti bahawa ia berpunca daripada arahan Dato’ Sri Najib.
Pembelaan turut memetik kenyataan mantan pegawai penyiasat PDRM, SAC Rajagopal, yang pernah mengesyorkan supaya pegawai-pegawai 1MDB ketika itu didakwa kerana bertindak bertentangan dengan keputusan lembaga sendiri.
Peguam pembela menegaskan bahawa keputusan lembaga 1MDB telah dibuat lebih awal daripada panggilan telefon Najib–Bakke, dan dapatan mahkamah yang berasaskan tarikh 26 September 2009 adalah tidak tepat serta tidak mengambil kira keseluruhan kronologi sebenar.
Katanya, hasrat Najib untuk mewujudkan projek G2G telah diseleweng oleh pegawai 1MDB sendiri, tetapi hanya beliau yang kini dipertanggungjawabkan di mahkamah.
Bukan sahaja keputusan Dato’ Sri Najib, keputusan lembaga pun mereka tak ikut. Pegawai-pegawai membuat tindakan sendiri mengakibatkan berlakunya keberhutangan dan semua perbuatan mereka itu terjumlah kepada pelbagai bentuk perlakuan jenayah.
Tetapi yang terpaksa menjawab pertuduhan hari ini ialah Dato’ Sri Najib katanya.