RUU Tribunal Anti Buli akan dibentang kepada Kabinet esok – Azalina

KOTA KINABALU: Kertas cadangan berkaitan Rang Undang-Undang (RUU) Tribunal Anti-Buli akan dibentangkan kepada Kabinet esok untuk dimuktamadkan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata penggubalan RUU terbabit telah hampir siap dan memerlukan persetujuan Jemaah Menteri untuk dimuktamadkan.

“Apabila Jemaah Menteri bersetuju dengan polisi (dalam draf RUU) itu, di peringkat seterusnya adalah (penggubalan lengkap) RUU.

“RUU itu juga telah hampir siap namun kita perlu membentangkan dasar umum (dalam RUU).

“Jadi sesi ‘townhall’ yang kita lakukan ini, dengan bantuan rakyat Malaysia dan beberapa kementerian membantu kami menilai sebarang maklum balas.

“Setelah kabinet meluluskan polisi itu, kita akan berbincang dengan beberapa Ahli Parlimen di luar sana dan menyambung perbincangan umum. Ini adalah penglibatan dengan orang ramai, secara tidak langsung,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas menyempurnakan program Sesi Town Hall Antibuli: #GenerasiTanpaBuli Peringkat Negeri Sabah bertempat di Hotel Le Meridien, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Azalina turut berkata pihaknya berharap RUU terbabit menjadi jalan penyelesaian kes berkaitan buli dengan lebih cepat berbanding proses mahkamah yang mengambil tempoh masa panjang.

Menurutnya, tribunal terbabit memainkan peranan sebagai badan separa kehakiman yang mengendalikan kes berkaitan buli.

Mengulas lanjut, beliau berkata penubuhan tribunal itu tidak akan menganggu sistem institusi lain seperti Kementerian Pendidikan (KPM), Majlis Amanah Rakyat (MARA) atau Kementerian Pertahanan berkaitan dalam mengendalikan masalah disiplin terutamanya melibatkan kes buli.

“Kita cuba menerangkan bahawa tribunal ini ialah badan separa kehakiman (quasi judicial). Kita mahu sistem dalam sesebuah institusi itu dijalankan oleh mereka sendiri.

“KPM mempunyai (sistem) mereka sendiri, MARA dan juga Kementerian Pertahanan. Jadi setiap institusi ini, mereka mempunyai kaedah bagaimana mereka mengendalikan buli dan disiplin.

“Jadi, undang-undang (dalam tribunal) ini tidak mengganggu kewujudan sistem yang sedia ada .. Itulah titik permulaannya. Jika terdapat aduan atau siasatan, maka mungkin akan ada keputusan di peringkat sistem.

“Sebagai contoh, KPM mungkin mempunyai keputusan atau ketetapan mereka sendiri. Maka, tribunal akan berperanan pada peringkat kedua, misalnya bagi kes rayuan atau ketidakpuasan hati terhadap keputusan tersebut,” katanya.

Dalam perkembangan lain, media sebelum ini melaporkan Azalina berharap agar RUU terbabit dapat dibawa ke persidangan Parlimen pada bulan ini.

BBerkaitan

Latest articles