Bau Busuk Bongkar Mayat Terapung Di Tasik Tiara

IPOH: Bau busuk yang menusuk hidung seorang lelaki ketika memberi makan ikan di Tasik Tiara Lake View Plaza, dekat Lahat, membawa kepada penemuan mengejut satu mayat lelaki lengkap berpakaian terapung berhampiran tebing tasik, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, berkata pihaknya menerima laporan mengenai penemuan itu sekitar jam 5.40 petang Selasa, sebelum sepasukan anggota dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Mayat lelaki berkenaan ditemui dalam keadaan tertiarap di permukaan air, lengkap berpakaian serta memakai kasut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut beliau, pemeriksaan awal di kawasan sekitar tidak menemui sebarang kesan pergelutan, darah atau barangan mencurigakan, manakala tiada kenderaan lama atau mencurigakan ditemui berhampiran tasik.

Pasukan bomba turut dipanggil bagi membantu membawa mayat ke kawasan selamat untuk pemeriksaan lanjut oleh pasukan forensik dan polis.

“Hasil pemeriksaan awal pakar forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) mendapati tiada sebarang kecederaan pada tubuh mangsa, namun mayat sudah membusuk dan dipercayai meninggal dunia lebih daripada sehari sebelum ditemui,” jelasnya.

Tambah beliau, mangsa tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri, tetapi dipercayai warga tempatan berdasarkan kesan suntikan BCG pada bahu kirinya.

Kes berkenaan buat masa ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sementara menunggu laporan penuh bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.

BBerkaitan

Latest articles