PUTRAJAYA: Malaysia menolak dakwaan bahawa negara ini menyokong sepenuhnya pelan damai Gaza yang dirintis Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, sebaliknya hanya memberi sokongan bersyarat dengan mempertahankan prinsip hak rakyat Palestin.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, keputusan itu dibuat secara sukar dan hanya dipersetujui pada saat akhir kerana beberapa syarat penting perlu dihormati.
Antara syarat utama Malaysia iah Palestin mesti diiktiraf sebagai negara berdaulat, isu di Tebing Barat turut diselesaikan, rakyat Palestin yang diusir diberi hak pulang ke tanah air dan pembunuhan ke atas orang awam, termasuk wanita dan kanak-kanak, dihentikan segera.
Anwar turut menjelaskan bahawa faktor sokongan bersyarat itu menjadi salah satu sebab Malaysia tidak dijemput ke Sidang Kemuncak Keamanan Sharm el-Sheikh di Mesir semalam, yang menghimpunkan lebih 20 pemimpin dunia bagi menandatangani pelan damai Gaza.
“Setakat semalam, hanya 167 trak bantuan dibenar masuk ke Gaza walaupun 600 dijanjikan. Negara-negara Islam sedang memantau perkara ini,” katanya pada sesi jawapan di Dewan Rakyat.
Terdahulu Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Indera Mohd Shahar Abdullah bertanyakan pendirian kerajaan terhadap pelan damai yang dikemukakan oleh Trump berhubung konflik Palestin-Israel serta sejauh mana pelan tersebut selaras dengan prinsip dan usaha Malaysia dalam memperjuangkan hak rakyat Palestin dan kedaulatan negara itu.