Pemandu Hilang Selepas Kereta Terjunam Ke Sungai Ditemui Maut

MUAR: Misteri kehilangan seorang lelaki selepas kereta dipandunya terjunam ke dalam Sungai Panchor, Pagoh, semalam berakhir tragis apabila mangsa ditemui mati lemas awal pagi tadi.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pagoh, Pegawai Bomba Kanan I Nor Alfatah Omar berkata, mayat mangsa, Mud Husni Mahmud, 47, dijumpai di dalam kereta Proton Saga yang berjaya dinaikkan menggunakan kren.

“Mayat mangsa ditemui pada jam 1.01 pagi di dalam kenderaan tersebut. Selepas proses mengangkat kereta ke darat, mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang bermula sejak semalam itu melibatkan 20 anggota bomba, termasuk Pasukan Penyelamat di Air (PPD) dari BBP Muar.

Misi SAR turut dibantu pelbagai aset termasuk jentera Fire Rescue Tender (FRT), lori tiga tan, pacuan empat roda, Nissan Navara, Rapid Rescue Vehicle (RRV), serta dua bot fiber.

Operasi ditamatkan pada jam 1.38 pagi.

Terdahulu, media melaporkan pemandu kereta terbabit dikhuatiri lemas selepas terlibat dalam kemalangan sebelum kenderaan itu terjunam ke dalam sungai pada jam 2.30 petang semalam.

Susulan itu, operasi SAR dilancarkan oleh BBP Pagoh dan BBP Muar dengan bantuan polis, Kementerian Kesihatan (KKM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Sebelum kejadian, tular di Facebook sebuah video memaparkan kereta jatuh ke sungai dan mangsanya didakwa pasangan suami isteri.

Difahamkan, mereka baru sahaja selesai makan di sebuah kedai berdekatan sebelum insiden berlaku.

BBerkaitan

Latest articles