PUTRAJAYA: Seramai sembilan aktivis kemanusiaan Malaysia yang ditahan tentera Israel ketika menyertai misi Freedom Flotilla Coalition & Thousand Madleens to Gaza (FFCxTMG) dijangka pulang ke tanah air Ahad ini.
Ketua Pegawai Eksekutif MyCARE, Kamarul Zaman Shahrul Anwar berkata, Wisma Putra memaklumkan bahawa kesemua delegasi telah dibebaskan dan akan mendarat di Istanbul, Turkiye pada jam 7.30 malam ini (Jumaat).
“MyCARE telah menghantar wakil ke Istanbul bagi menyambut kepulangan sembilan aktivis misi FFC ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Pada Rabu lalu, kapal flotilla yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza dipintas tentera Israel, menyebabkan 145 aktivis antarabangsa termasuk sembilan rakyat Malaysia ditahan.
Mereka kemudiannya dipindahkan ke Penjara Ketziot di Negev, salah satu pusat tahanan terbesar Israel di wilayah gurun.
Kumpulan ini merupakan gelombang ketiga flotilla kemanusiaan yang belayar secara berperingkat menuju Gaza untuk menyerahkan bantuan kepada penduduk Palestin.
Senarai sembilan delegasi Malaysia itu adalah Prof Emeritus Dr Mohd Alauddin Mohd Ali, Dr Fauziah Mohd Hassan, Dr Hafiz Sulaiman, Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi, Dr Mohd Afandi Salleh, Dr Noorhasyimah Ismail, Dr Maziah Muhammad, Norsham Abu Bakar dan Syafik Shukri Abdul Jalil yang merupakan wartawan Astro Awani.