Kuala Lumpur — Bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad, telah dilantik sebagai Pengerusi baharu The World Brands Foundation (TWBF), badan penganugerahan bagi jenama global di bawah The BrandLaureate.
Pelantikan beliau disifatkan sebagai langkah strategik untuk memperkukuh komitmen TWBF terhadap penjenamaan yang berasaskan nilai, kepimpinan beretika dan pembangunan mampan.
Tan Sri Dzulkifli yang kini menjawat jawatan sebagai Presiden Akademi Anti Pengubahan Wang Haram dan Anti Rasuah (AMLAC), mempunyai pengalaman luas dalam reformasi institusi dan tadbir urus awam, selaras dengan nilai-nilai utama TWBF iaitu integriti dan akauntabiliti.
“Pelantikan Tan Sri mengukuhkan keyakinan kami bahawa jenama hebat bukan sahaja dinilai dari segi prestasi, tetapi juga prinsip,” kata Naib Presiden Perhubungan Awam & Komunikasi The BrandLaureate, Hilary Ng.
Sebagai Pengerusi, Tan Sri Dzulkifli akan memimpin TWBF merangka fasa pertumbuhan strategik baharu, dengan penekanan terhadap penjenamaan beretika, kolaborasi rentas industri dan pemerkasaan pengaruh jenama di peringkat global.
Beliau menyatakan penghargaan atas kepercayaan yang diberikan dan komited untuk menyumbang kepada visi TWBF membina jenama yang diyakini, berwibawa dan memberi impak sosial.
“Saya berbesar hati untuk menyertai organisasi yang melihat penjenamaan sebagai cerminan nilai, budaya dan komitmen sosial,” katanya.
Pelantikan itu turut dilihat sebagai langkah berani TWBF untuk mengangkat semula penjenamaan sebagai wadah kepimpinan berprinsip, bukan sekadar alat komersial