Sunway Construction Sahkan pekerjanya Disiasat SPRM, Beri Kerjasama Penuh Bantu Siasatan Pihak Berkuasa

KUALA LUMPUR, Sunway Construction Group Berhad (SunCon) hari ini mengesahkan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memulakan siasatan terhadap salah seorang pekerjanya yang melibatkan urusan dengan beberapa subkontraktor.

Lembaga Pengarah SunCon dalam kenyataan memaklumkan bahawa siasatan tersebut adalah bersifat terasing dan tidak melibatkan cara kumpulan itu memperoleh kontrak daripada pelanggannya.

“Sebagai sebuah entiti yang menghormati bidang kuasa SPRM, SunCon mengambil pendirian untuk tidak mengulas lanjut dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak SPRM bagi menjalankan siasatan secara bebas,” katanya dalam satu kenyataan yang dimaklumkan melalui bursa Malaysia.

SunCon turut memaklumkan bahawa syarikat itu sentiasa memberikan kerjasama penuh kepada SPRM bagi memastikan proses siasatan berjalan lancar. Pada masa sama, pihak syarikat sedang mendapatkan nasihat perundangan untuk menilai tindakan yang wajar diambil berkaitan beberapa subkontrak dan pihak yang terlibat.

“SunCon kekal komited terhadap standard integriti dan ketelusan yang tertinggi dalam semua operasi kami. Kami mengamalkan dasar toleransi sifar terhadap rasuah, salah guna kuasa, serta apa-apa amalan yang mencemar etika kerja,” tambah kenyataan itu lagi.

Menurut SunCon, siasatan berkenaan tidak memberi sebarang kesan kewangan atau operasi kepada kumpulan syarikat tersebut.

Lembaga Pengarah SunCon memberi jaminan akan terus memantau perkembangan siasatan dan akan membuat pemakluman sewajarnya sekiranya terdapat sebarang perkembangan penting.

Semalam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selesai merekod keterangan 12 individu berhubung siasatan kes rasuah berkait perolehan tender projek pembinaan pusat data di Johor bernilai kira-kira RM180 juta.

Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Zainul Darus, berkata setakat ini tiada sebarang tangkapan baharu direkodkan dalam siasatan kes terbabit.

BBerkaitan

Latest articles