PETALING JAYA: Pasangan pengasas bersama motivasi rumah tangga, Ehati International Sdn Bhd (eHati), Diyana Tahir dan suaminya Rahim Shukor ditahan polis hari ini selepas hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim mengesahkan penahanan pasangan tersebut dan memaklumkan beberapa tindakan susulan akan diambil.
“Untuk makluman, pengasas program terbabit bersama suaminya telah ditahan. Maklumat lanjut akan dimaklumkan selepas beberapa tindakan diambil termasuk serbuan dan tangkapan berkaitan kes ini,” katanya dalam kenyataan ringkas hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan polis menerima laporan berkaitan program motivasi rumah tangga anjuran syarikat itu yang didakwa bersifat songsang dan terpesong di sebuah pusat konvensyen di Shah Alam pada September lalu.
Menurut Mohd Iqbal, laporan berkenaan dibuat oleh seorang ejen insurans berusia 39 tahun yang merupakan suami kepada salah seorang peserta program tersebut.
Sementara itu, peguam pasangan terbabit, Datuk M Reza Hassan ketika dihubungi New Straits Times mengesahkan penahanan anak guamnya dibuat oleh IPD Shah Alam selepas selesai mengambil keterangan.
Beliau memaklumkan, kedua-duanya kini disiasat di bawah Seksyen 294 dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil.
Dalam pada itu, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee turut memaklumkan pihaknya akan menjalankan siasatan terperinci bersama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bagi mendapatkan maklumat yang jelas sebelum sebarang tindakan lanjut diambil.