MCMC, LLM Kenal Pasti 50KM Lebuh Raya Tiada Liputan, Fokus Fasa Kedua JENDELA

BAYAN LEPAS, – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan bekerjasama dengan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) untuk mengenal pasti hampir 50 kilometer jajaran lebuh raya yang masih belum mempunyai sebarang liputan telekomunikasi.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata usaha ini merupakan sebahagian daripada pelaksanaan dasar “Di Mana Ada Jalan, Di Situ Ada Internet” yang bertujuan memastikan akses internet tersedia di sepanjang rangkaian lebuh raya negara.

“Beberapa lokasi utama telah dikenal pasti dan perbincangan sedang berlangsung. Harapan saya lokasi-lokasi ini dapat dimasukkan dalam fasa kedua Projek JENDELA kerana kebanyakannya memerlukan pembinaan menara telekomunikasi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat Menara MOCN 4G Enam Hala YES di Tanjung Asam sempena program jelajah dasar “Di Mana Ada Jalan, Di Situ Ada Internet”, hari ini.

Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital Pulau Pinang, Zairil Khir Johari, serta ADUN Bayan Lepas merangkap Timbalan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Datuk Azrul Mahathir Aziz.

Teknologi Satelit Direct-to-Cell Diuji Tahun Ini

Dalam perkembangan berkaitan, Fahmi turut mengumumkan bahawa Kementerian Komunikasi merancang melaksanakan projek bukti konsep (Proof of Concept) bagi teknologi direct-to-cell menggunakan satelit orbit rendah bumi (LEO) menjelang suku ketiga atau keempat tahun ini di beberapa lokasi terpilih.

“Pelaksanaan masih belum bermula kerana ada kekangan teknikal, namun perbincangan sedang diadakan dengan syarikat penyedia teknologi LEO untuk menambahbaik kesalinghubungan, terutamanya di kawasan terpencil dan perairan negara,” katanya.

Tambah beliau, teknologi satelit direct-to-cell ini mampu bertindak sebagai menara pemancar dari angkasa, sekali gus memberi manfaat dalam situasi kecemasan seperti insiden lemas di pantai, di mana individu terbabit masih boleh menghubungi pihak berkuasa walaupun tanpa liputan menara fizikal.

“Di kawasan pulau atau lokasi sukar binaan, pembinaan menara setinggi 60 meter mungkin tidak sesuai. Di sinilah direct-to-cell boleh menjadi penyelesaian alternatif,” katanya.

Lawatan kerja dua hari Fahmi ke Pulau Pinang menumpukan kepada inisiatif pendigitalan luar bandar, pengukuhan infrastruktur telekomunikasi, dan peninjauan teknologi baharu ke arah memastikan kesaksamaan digital di seluruh negara.

BBerkaitan

Latest articles