Perbicaraan Revenue Group – Saksi Akui Pertukaran Kuasa Urus Kenderaan Syarikat Bawa Implikasi Konflik Kepentingan

KUALA LUMPUR, Seorang bekas Eksekutif Sumber Manusia Revenue Harvest Sdn Bhd (RHSB) hari ini memberitahu Mahkamah Sesyen bahawa tindakan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu, Ng Chee Siong atau Eddie Ng, menukar kuasa pengurusan enam kenderaan syarikat daripada Bahagian Kewangan kepada Bahagian Sumber Manusia membawa kepada potensi konflik berkepentingan dalam pentadbiran syarikat.

Saksi, Foo Phooi Yan, bersetuju dengan pandangan tersebut semasa disoal balas oleh peguam Tan Sri Dzulkifli Ahmad dalam perbicaraan membabitkan dua pengarah Revenue Group Berhad (RGB), Ng Shih Chiow dan Ng Shih Fang, yang berdepan pertuduhan bersubahat melupuskan aset syarikat — sebuah Toyota Vellfire — tanpa kelulusan Lembaga Pengarah.

Foo berkata, perubahan bidang kuasa itu dipercayai dibuat bagi mengelakkan konflik kepentingan kerana Pengurus Kewangan ketika itu, Chung Lee Chu (Jennifer), adalah isteri kepada tertuduh Shih Chiow. Namun, Dzulkifli membangkitkan bahawa langkah tersebut turut menimbulkan konflik lain kerana Pengurus Bahagian Sumber Manusia pada masa itu adalah Yong Yuet Kum (Connie), isteri kepada Eddie Ng

Setelah diasak, Foo akhirnya mengakui bahawa langkah itu tetap membawa kepada konflik kepentingan.

Ketika disoal berhubung dua lagi kenderaan milik syarikat — BMW 530D (W4134M) dan Toyota Vellfire 2.5 AT (VCN 4314) — Foo berulang kali menyatakan bahawa beliau tidak ingat dan tidak pasti mengenai butiran kenderaan berkenaan. Dzulkifli juga mendakwa kedua-dua kenderaan itu digunakan oleh Eddie Ng dan isterinya, Connie, tetapi Foo enggan mengesahkannya.

Foo juga didedahkan mengetahui mengenai Toyota Vellfire (BPR 3108) yang dikatakan dihadiahkan oleh CIMB Bank dan digunakan oleh Jennifer, namun tidak dapat memberikan maklumat terperinci.

Foo selain itu turut mengakui bahawa beliau melakukan kerja bagi Syarikat Revenue Group Berhad (RGB) walaupun beliau secara rasminya adalah seorang kakitangan RHSB.

Beliau mengakui tiada sebarang resolusi mengenainya memandangkan beliau adalah seorang kakitangan di RHSB yang juga anak syarikat kepada RGB.

Foo juga mengakui pengetahuannya terhadap kes yang dibicarakan adalah sangat terhad kepada tempoh masa 3 bulan iaitu bermula Februari 2023 hingga Mei 2023.

Beliau mengakui tidak mengetahui amalan ataupun peraturan yang diamalkan oleh pihak syarikat RHSB berhubung penggunaan dan pengurusan kenderaan syarikat sebelum tempoh masa berkenaan.

Beliau turut memberitahu mahkamah bahawa selepas bulan May beliau sudah tidak lagi bekerja di RHSB kerana berpindah tempat kerja.

Sementara itu, pada sesi soal balas kedua Saksi, Zaharudin Zainudin yang juga kakitangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengakui beliau hanya diminta oleh penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai sebuah kenderaan dengan nombor pendaftaran BPR 3108 namun tidak bagi kenderaan lain.

Beliau mengakui sekiranya mendapat arahan rasmi dari pihak yang berkenaan JPJ boleh mengeluarkan maklumat mengenai kenderaan lain yang berkaitan dengan kes.

Amer pada penghujung sesi soal balas meminta pihak mahkamah supaya mengeluarkan saman bagi membolehkan pihak pembelaan mendapat maklumat mengenai dua lagi kenderaan iaitu sebuah BMW 530i nombor pendaftaran VBF 1113 dan Toyota Vellfire 2.5 AT bernombor pendaftaran VCN 4314 namun dibantah oleh Timbalan Pendakwa Raya, Law Chin How.

Law berpendapat bahawa permintaan itu tidak relevan dengan pembelaan namun Hakim, Rosli Ahmad meminta kedua dua pihak pendakwaan dan pembelaan berbincang sambil mengesyorkan kepada pihak pendakwaan supaya memenuhi permintaan pembelaan.

Amer yang membuat permohonan itu berhujah bahawa pihak pembelaan memerlukan maklumat berkenaan bagi tujuan untuk menunjukkan kepada mahkamah sama ada kes yang sedang dibicarakan itu adalah perbicaraan terpilih.

BBerkaitan

Latest articles