Kes Tikam 61 Kali: Pasangan Warga Emas Dibebaskan

KOTA BHARU: Sepasang warga emas yang direman bagi membantu siasatan kes pembunuhan kejam seorang penuntut kolej wanita di Kampung Simah, Ketereh, dibebaskan dengan jaminan polis, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Azmir Damiri berkata, siasatan kini difokuskan kepada dua suspek remaja lelaki berusia 19 tahun yang masih dalam tempoh reman.

Menurutnya, pasangan suami isteri berusia 60 dan 66 tahun itu, yang juga ibu bapa kepada salah seorang suspek, telah dilepaskan selepas tempoh tahanan mereka berakhir.

“Pasangan warga emas itu sudah dibebaskan dengan jaminan polis dan siasatan kini tertumpu kepada dua remaja terbabit,” katanya.

Terdahulu, kedua-dua warga emas berkenaan direman selama tiga hari, manakala dua remaja lelaki itu ditahan selama seminggu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam Jumaat lalu, mayat seorang wanita ditemui di Jalan Kampung Kubang Kiat, Ketereh dalam keadaan mengerikan dengan 61 kesan tikaman di seluruh badan.

Mangsa, yang pada awalnya tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri, kemudian dikenal pasti sebagai Nurfisya Zulkifly, 19, menerusi padanan cap jari oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai dibunuh di lokasi lain sebelum mayatnya dibuang di kawasan berkenaan.

Hasil bedah siasat mengesahkan punca kematian adalah akibat kecederaan tikaman berganda di bahagian dada.

BBerkaitan

Latest articles