KUALA LUMPUR: DAP hari ini menegaskan komitmennya untuk terus setia dalam gabungan Kerajaan Perpaduan, sambil memberi jaminan ia tidak akan mengkhianati rakan-rakan politiknya.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook menegaskan bahawa parti itu kekal sebagai sekutu setia dalam Pakatan Harapan (PH), meskipun menghadapi pelbagai cabaran politik.
Beliau turut menekankan bahawa peristiwa Langkah Sheraton tidak akan berulang.
“Kami (DAP) adalah rakan sejati. Kami tidak akan menikam daripada belakang. Kami akan memastikan sejarah hitam Langkah Sheraton tidak berulang sama sekali. Ini janji daripada DAP,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar dalam Kongres DAP kali ke-18 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam, hari ini.
Menurut Anthony, kestabilan dan perpaduan dalam kerajaan perlu diperkukuh demi memastikan kejayaan pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Jika Kerajaan Madani ini berjaya, jika Datuk Seri Anwar berjaya, itu bermaksud Malaysia juga akan berjaya,” tambahnya.
Beliau turut menyatakan bahawa pentadbiran Anwar sepanjang 28 bulan ini telah membawa Malaysia kembali ke landasan yang betul, terutama dari segi ekonomi dan politik.
“Kita lihat beberapa indikator yang menunjukkan kita berada di landasan yang betul. Contohnya, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2024 meningkat kepada 5.1%.
“Ini adalah pencapaian ekonomi yang boleh dibanggakan kerana tidak banyak negara di dunia mencapai prestasi seperti ini,” katanya.
Kongres DAP kali ke-18 ini dihadiri oleh kepimpinan tertinggi parti serta perwakilan dari seluruh negara, dengan fokus utama memperkukuh kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan.