Debat Perbezaan Agama Perlu Dihentikan Demi Perpaduan

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Moktar menyokong pendirian Menteri Perpaduan, Datuk Seri Aaron Ago Dagang bahawa debat mengenai perbezaan agama perlu dihentikan kerana boleh mengeruhkan hubungan masyarakat berbilang agama di Malaysia.

Menurutnya, debat terbuka berkaitan isu agama hanya akan membawa kepada perpecahan dalam kalangan rakyat.

“Sebenarnya, jika perkara ini dilakukan secara terbuka, ia akan menyebabkan masyarakat lebih berpecah-belah.

“Oleh itu, saya bersetuju dan menyokong kenyataan rakan sejawat saya, Datuk Aaron, agar pihak-pihak yang terlibat menilai kembali tindakan mereka serta memastikan kesatuan dan perpaduan rakyat yang berbilang agama serta bangsa dapat diperkukuhkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri program Erat Ramadan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, di sini, hari ini.

Kenyataan Dr Mohd Na’im itu merujuk kepada cadangan debat terbuka antara Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan dan penceramah bebas, Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu.

Bagaimanapun, dalam sidang medianya pagi tadi, Saravanan mengumumkan keputusan untuk tidak meneruskan debat tersebut selepas berbincang dengan Aaron Ago, Presiden MIC, S. Vigneswaran, pihak polis dan beberapa pemimpin kerajaan lain.

Sebelum ini, Saravanan menetapkan 23 Mac sebagai tarikh debat dengan Zamri susulan kenyataan kontroversi yang membandingkan pembawa kavadi semasa sambutan Thaipusam dengan individu yang dirasuk atau mabuk.

Sebelum ini, Aaron Ago menegaskan bahawa sebarang bentuk perdebatan yang menyentuh perbezaan agama boleh mencetus ketegangan dan perlu dihentikan demi keharmonian masyarakat.

Beliau turut mengingatkan bahawa perbincangan mengenai agama perlu dilakukan dengan penuh rasa hormat serta mengambil kira kepelbagaian budaya dan kepercayaan di Malaysia.

Kenyataan itu dibuat susulan insiden penyampai radio Era FM yang didakwa menghina penganut Hindu dengan menari serta melaungkan “vel, vel” secara berseloroh.

Akibatnya, ketiga-tiga penyampai radio tersebut telah memohon maaf dan digantung tugas sementara siasatan oleh pihak polis serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) masih berjalan.

Ekoran kontroversi itu, Zamri turut memuat naik kenyataan di media sosial yang mengaitkan insiden tersebut dengan tragedi rusuhan kuil Seafield yang menyebabkan kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

BBerkaitan

Latest articles