Senator Tiew Way Keng Nafi Dakwaan, Tegaskan Beliau Ikut Undang-Undang Semasa di MBPJ

KUALA LUMPUR: Pemimpin DAP, Senator  Tiew Way Keng, menegaskan bahawa beliau telah menjalankan tanggungjawabnya mengikut undang-undang dan prosedur sepanjang tempoh berkhidmat sebagai Ahli Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ) 15 tahun lalu.

Sehubungan itu, beliau menolak dakwaan salah laku yang dibuat oleh bekas ADUN Teratai, Jenice Lee Ying Ha, yang mempertikaikan pelantikannya sebagai ahli Dewan Negara.

“ Saya ingin tegaskan bahawa saya telah menjalankan tanggungjawab mengikut undang-undang dan prosedur pada setiap masa,” katanya lapor portal FMT.

Beliau turut memberi amaran bahawa sebarang kenyataan berunsur fitnah terhadap dirinya akan dibawa ke mahkamah.

“Jika dia (Jenice) terus melontarkan kenyataan fitnah, saya akan mengambil tindakan undang-undang terhadapnya,” tegasnya.

Pada 26 Februari, Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor meluluskan usul untuk melantik Tiew sebagai senator, mewakili negeri itu bagi tempoh tiga tahun.

Tiew sebelum ini berkhidmat sebagai ADUN Teratai dari 2013 hingga 2018, menggantikan Jenice yang memegang jawatan tersebut pada penggal sebelumnya dari 2008 hingga 2013.

Sebelum ini, Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teratai, Jenice Lee Ying Ha, mempersoalkan perlantikan ahli DAP, Tiew Way Keng, sebagai senator di Dewan Negara pada Februari lalu. Beliau mendakwa pelantikan tersebut tidak wajar kerana Way Keng terpalit dengan isu rasuah dan salah guna kuasa ketika menjadi Ahli Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ) 15 tahun lalu.

Baca laporan ini :-Bekas ADUN Teratai, Persoal Perlantikan Senator DAP Dari Selangor 

Menurut Jenice, Way Keng yang juga bekas ADUN Teratai, didakwa terlibat dalam meluluskan tender kutipan hutang bagi pihak MBPJ dengan harga 366% lebih tinggi kepada sebuah firma guaman milik Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng. Keputusan ini dibuat walaupun mesyuarat Ahli Jawatankuasa MBPJ sebelum itu telah meluluskan tender kepada firma lain dengan harga RM15,000.

“Pada asalnya, peruntukan bagi tender berkenaan adalah RM128,000, tetapi atas sebab tertentu ia diturunkan. Akhirnya, selepas bermesyuarat, MBPJ bersetuju meluluskan tender kepada sebuah firma guaman dengan harga RM15,000. Namun, Way Keng mendakwa telah bermesyuarat pada sebelah malam hari yang sama dan meminda keputusan tersebut, meluluskannya kepada sebuah firma lain pada harga jauh lebih tinggi melebihi harga siling yang ditetapkan MBPJ,” kata Jenice.

BBerkaitan

Latest articles