Sindiket Tawar Makanan Istimewa Kepada Penghuni Penjara Dikesan, Ahli Keluarga Dinasihat Berwaspada

KUALA LUMPUR: Jabatan Penjara Malaysia telah mengesan satu sindiket penipuan yang menyamar sebagai pegawai penjara untuk menipu ahli keluarga penghuni penjara dengan menawarkan pembelian makanan istimewa secara berbayar.

Dalam satu kenyataan hari ini, Jabatan Penjara Malaysia memaklumkan bahawa sindiket tersebut menyasarkan ahli keluarga serta waris penghuni penjara melalui pesanan ringkas di aplikasi WhatsApp.

Beberapa aduan telah diterima daripada keluarga mangsa yang tertipu dengan taktik licik itu.

“Sindiket ini menggunakan nama samaran seperti ‘Sarjan Haziq’ dan ‘Sarjan Akmal’ bagi memperdaya ahli keluarga penghuni penjara. Mereka juga menggunakan pelbagai nombor telefon mudah alih dan meminta sejumlah wang bagi tujuan pembelian makanan istimewa kononnya untuk penghuni penjara,” menurut kenyataan tersebut.

Tambah jabatan itu, sindiket turut menggunakan beberapa akaun bank tumpangan bagi transaksi wang.

Mangsa yang terlibat telah membuat laporan polis, dan Jabatan Penjara Malaysia akan bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi membantu siasatan.

Jabatan Penjara Malaysia menegaskan bahawa tindakan tegas akan diambil sekiranya terdapat unsur kecuaian atau kelemahan dalam prosedur yang membolehkan sindiket ini beroperasi.

Sehubungan itu, ahli keluarga penghuni penjara dinasihatkan untuk berhati-hati dan tidak membuat sebarang transaksi wang kepada individu atau nombor akaun yang mencurigakan.

Mereka juga disarankan untuk membuat laporan polis serta memaklumkan pihak institusi penjara sekiranya menerima mesej sedemikian.

BBerkaitan

Latest articles