Sedekah: Bonus Pahala Sebulan Ramadan, Ini Sebab Mengapa Ramai Rebut Peluang

KUALA LUMPUR: Ramadan kembali menjelang, membawa peluang besar bagi umat Islam untuk meningkatkan amalan ibadah dan kebajikan.

Antara amalan utama yang sangat digalakkan sepanjang bulan mulia ini adalah bersedekah, termasuk memberi sumbangan makanan kepada mereka yang berpuasa.

Pensyarah Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), UiTM Johor, Dr Mohd Ali Muhamad Don berkata, hal ini amat bertepatan dengan hadis Rasulullah SAW yang menyebut, sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa akan memperoleh pahala yang sama seperti orang berpuasa itu, tanpa mengurangkan pahala individu berkenaan.

Oleh itu, umat Islam digesa untuk menyediakan bajet khusus bagi bersedekah, sama ada dalam bentuk makanan berbuka puasa mahupun bantuan kewangan kepada golongan yang memerlukan.

Amalan bersedekah boleh dimanfaatkan dengan menyediakan juadah berbuka untuk jiran tetangga, rakan sekerja, serta masyarakat setempat.

Selain itu, masjid dan surau juga memerlukan dana untuk menyediakan hidangan berbuka bagi jemaah, terutamanya musafir dan mereka yang kurang berkemampuan.

Dalam konteks lebih luas, institusi kebajikan seperti rumah anak yatim dan rumah orang tua turut mengalu-alukan sumbangan bagi memenuhi keperluan harian mereka.

Begitu juga dengan madrasah, sekolah tahfiz, serta NGO yang menyediakan bantuan makanan kepada saudara se-Islam di dalam dan luar negara.

Menurut Dr Mohd Ali lagi, sikap dermawan tidak terbatas kepada golongan kaya sahaja.

Rasulullah SAW pernah menasihati sahabatnya yang miskin supaya tetap bersedekah, walaupun hanya dengan sebiji tamar.

Ini membuktikan bahawa setiap Muslim boleh bersedekah mengikut kemampuan, asalkan dilakukan dengan niat ikhlas kerana Allah SWT.

Dalam pada itu, umat Islam juga diingatkan tentang kewajipan membayar zakat fitrah sebelum Aidilfitri.

Zakat ini berfungsi sebagai penyempurna ibadah puasa dan membantu fakir miskin agar mereka turut merasai kegembiraan menyambut hari raya.

Rasulullah SAW dikenali sebagai insan yang paling pemurah, terutamanya ketika Ramadan, di mana Baginda diibaratkan seperti angin yang sentiasa bertiup, tidak henti-henti memberi.

Oleh itu, umat Islam diseru untuk mencontohi akhlak Baginda dengan menyingkirkan sifat kedekut dan lebih banyak bersedekah.

Dengan kehadiran Ramadan, ini adalah masa terbaik untuk memperbaiki diri, meningkatkan amalan ibadah, serta memperbanyakkan sedekah bagi meraih keampunan dan ganjaran daripada Allah SWT.

BBerkaitan

Latest articles