KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun maut selepas terbabit dalam kemalangan membabitkan lima kereta dan sebuah motosikal di Jalan Kuching, di sini, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.44 petang itu, mangsa yang juga anak kepada pemandu Perodua Bezza mengalami kecederaan parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika aliran trafik bergerak perlahan dari arah pusat bandar menghala ke Segambut.
Menurutnya, sebuah Perodua Bezza dipandu lelaki berusia 30 tahun dilanggar dari belakang oleh sebuah BYD Seal sebelum pelanggaran itu turut membabitkan sebuah motosikal.
“Perodua Bezza itu kemudian berpusing ke lorong kanan sebelum melanggar tiga kenderaan lain, iaitu Nissan Almera, Toyota Alphard dan Perodua Myvi,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, pemandu Perodua Bezza mengalami luka di tangan kanan, manakala penunggang motosikal Yamaha 135LC berusia 33 tahun cedera di bahagian kepala.
Kedua-dua mereka menerima rawatan di HKL.
Sementara itu, pemandu Nissan Almera berusia 28 tahun, pemandu Toyota Alphard berusia 37 tahun dan pemilik Perodua Myvi berusia 30 tahun dilaporkan tidak mengalami kecederaan.
Mohd Zamzuri berkata, pemandu BYD Seal berusia 24 tahun yang meninggalkan lokasi kejadian selepas kemalangan berjaya dikesan pihak polis.
Pemandu berkenaan kini menerima rawatan di sebuah hospital swasta di Damansara selepas mengalami kecederaan gegaran pada otak dan masih dalam pemantauan pegawai penyiasat.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu secara melulu atau membahayakan.
“Siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya.
Orang ramai atau saksi yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.










