Usaha Singkir Guan Eng Sekarang Akan Risikokan Sokongan DAP

KUALA LUMPUR: Sebarang usaha menyingkirkan Lim Guan Eng daripada Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) ketika ini akan memberi kesan kepada sokongan DAP, demikian menurut Veteran DAP, Teng Chang Khim.

Memetik temubualnya dengan Malaysiakini, bekas Exco Kerajaan Selangor itu juga menegaskan bahawa beliau tidak menentang penyingkiran Guan Eng, namun berpendapat tindakan itu tidak wajar dilakukan buat masa ini.

Apatah lagi, barisan kepimpinan baharu DAP masih belum memiliki kredibiliti dan rekod prestasi yang cukup untuk mengemudi parti dalam lanskap politik semasa.

“Kita perlu menilai keadaan. Walaupun mengeluarkannya mungkin menggembirakan secara emosi kerana boleh dianggap sebagai satu bentuk dendam, tetapi perasaan sedemikian bersifat peribadi. Kita mesti melihat gambaran yang lebih luas dalam politik,” katanya dalam podcast berbahasa Cina Malaysiakini pada Selasa.

Beliau menambah bahawa pemilihan parti bertujuan untuk memilih pemimpin, dan pasukan kepimpinan semasa baru memasuki penggal kedua mereka. Oleh itu, menurutnya, ini adalah masa untuk mengukuhkan kedudukan, bukan melakukan perubahan drastik.

Teng memberi amaran bahawa sekiranya Guan Eng disingkirkan sekarang dan kepimpinan baharu gagal meraih kepercayaan rakyat dalam tempoh tiga tahun akan datang, DAP berisiko kehilangan sokongan, malah berdepan kemungkinan kejatuhan.

Beliau turut menekankan peranan Guan Eng dalam memperjuangkan pendirian parti, terutama dalam isu-isu sensitif seperti cadangan garis panduan antara agama bagi orang Islam yang menghadiri acara bukan Islam.

Menurut Teng, kerajaan ketika ini berdepan tekanan yang semakin meningkat daripada PAS dan fenomena “gelombang hijau”, yang menyebabkan mereka berhati-hati agar tidak mengasingkan pengundi Melayu dan Islam.

“Apabila kebebasan dan gaya hidup orang bukan Islam terancam, nampaknya tiada pemimpin politik atau ahli Parlimen yang tampil bersuara dengan tegas,” katanya.

Beliau turut memberi amaran bahawa sekiranya Guan Eng disingkirkan, akan wujud kekosongan kepimpinan yang sukar diisi dalam tempoh terdekat, sekali gus melemahkan kedudukan DAP dalam kerajaan.

Teng sebelum ini telah menyuarakan pendiriannya mengenai perkara itu dalam satu hantaran di platform X pada 23 Januari, mencetuskan spekulasi memandangkan beliau sebelum ini dikenali sebagai pengkritik dominasi keluarga Lim dalam kepimpinan parti.

BBerkaitan

Latest articles