Pelajar Maut Selepas Kereta Terjunam Ke Dalam Gaung

KUALA LUMPUR: Seorang pelajar wanita tingkatan enam maut selepas kereta dipandunya terbabas sebelum terjunam ke dalam gaung di Kilometer 32, Jalan Lok Heng-Mawai, Kota Tinggi, petang semalam.

Mangsa, Nurul Adnin Sabtu, 19, dilaporkan dalam perjalanan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Habab sebelum kejadian itu berlaku.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman, berkata pihaknya menerima maklumat mengenai insiden tersebut daripada orang awam pada pukul 6.50 petang.

“Siasatan awal mendapati mangsa yang memandu kereta jenis Proton Saga merah dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan jatuh ke dalam gaung berhampiran.

“Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan.

Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi untuk tujuan siasatan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Tinggi, Penguasa Bomba Kanan Mohd Rafi Mohd Nor, memaklumkan seramai tujuh anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi, pasukan mendapati kereta mangsa telah terjunam ke dalam gaung sedalam 25 kaki di Jalan Sri Perani menuju Felda Bukit Aping.

“Pihak bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa dan membawanya ke kawasan selamat,” katanya.

Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan di lokasi kejadian.

Operasi menyelamat tamat sepenuhnya pada pukul 7.48 malam.

BBerkaitan

Latest articles