KUALA LUMPUR: Tiga bekas pegawai kanan yang mempunyai kaitan dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, telah dibebaskan hari ini selepas direman sejak Jumaat lalu atas dakwaan terlibat dalam kes rasuah.
Menurut sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), ketiga-tiga individu berkenaan dibebaskan selepas memberi keterangan, selain tempoh reman mereka yang berakhir hari ini.
“SPRM akan mengumumkan penemuan kes ini nanti, namun buat masa ini, siasatan masih diteruskan,” kata sumber itu ketika dihubungi.
Sebelum ini, media melaporkan bahawa empat pegawai yang dikaitkan dengan Ismail Sabri telah ditahan reman sejak Jumaat lalu, dengan seorang daripada mereka telah dibebaskan pada 23 Februari.
Setakat ini, SPRM belum mendedahkan sebarang penemuan mengenai nilai wang atau aset yang dijumpai berkaitan kes tersebut.
Namun, suruhanjaya itu tidak menolak kemungkinan beberapa saksi lain akan dipanggil bagi membantu siasatan.
Kes ini disiasat mengikut Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).