KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang lelaki berusia 54 tahun, dipercayai merupakan teman lelaki kepada penyanyi sambilan yang dibunuh dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Seri Mangga, pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, lelaki itu diberkas ketika mendapatkan rawatan di Hospital Melaka akibat kecederaan.
Suspek akan direman selama tujuh hari.
Menurut Christopher, berdasarkan siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada cemburu dan salah faham antara mangsa dengan suspek.
Ini kerana suspek tidak gemar dengan mangsa yang sering dihantar ke lokasi menyanyi dengan individu lelaki lain.
“Suspek dipercayai cedera kerana cuba membunuh diri dan polis turut merampas senjata tajam dipercayai digunakan suspek dalam kejadian itu.
“Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu polis masih menunggu keputusan bedah siasat sama ada suspek meninggal dunia disebabkan tikaman pada anggota badannya atau sebaliknya.
Terdahulu dalam kejadian pagi Ahad, mangsa yang juga ibu kepada tiga orang anak itu telah menyewa di rumah dua tingkat itu bersama kekasihnya sejak beberapa bulan lalu, ditemukan dalam keadaan terbaring atas katil.
Dalam pada itu Christopher turut meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintenden V Somsundram, di talian 06-2842222.