Sebutan Kes Suri Rumah Tikam Suami Hingga Mati Ditetapkan Pada 17 April

KAJANG: Mahkamah Majistret Kajang hari ini menetapkan 17 April sebagai tarikh sebutan kes seorang wanita yang didakwa membunuh suaminya pada bulan lalu.

Majistret Fatin Dayana Jalil menetapkan tarikh tersebut selepas pertuduhan dibacakan terhadap tertuduh, Hew Pit Lee, di mahkamah.

Namun, tiada sebarang kenyataan direkodkan daripada suri rumah berkenaan selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin.

Ketika jurubahasa membacakan kertas pertuduhan, tertuduh dilaporkan tidak memberikan sebarang respons dan hanya menggelengkan kepala tanda tidak memahami pertuduhan tersebut.

Mengikut pertuduhan, Pit Lee didakwa membunuh suaminya, Wong Chee Min, 61, di sebuah rumah di Jalan 1/18, Bandar Teknologi Kajang, Semenyih, antara jam 10.30 hingga 11 pagi pada 16 Februari lalu.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun serta sebatan minimum 12 kali jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Norfarhanim Abdul Halim, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, prosiding pertuduhan terpaksa ditangguhkan seketika apabila Pit Lee enggan menjawab pertanyaan yang diajukan dalam bahasa Mandarin.

Tertuduh juga dilihat dipujuk oleh anggota polis mahkamah sebelum prosiding diteruskan.

Sebelum ini, polis menahan suspek di lokasi kejadian selepas dia disyaki menikam suaminya hingga maut di hadapan sebuah pangsapuri di Kajang.

Menurut Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof, kes ini diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Siasatan awal mendapati kejadian berlaku sekitar jam 11.05 pagi pada 16 Februari lalu, dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara pasangan itu.

Insiden tersebut turut disaksikan oleh orang awam yang segera melaporkannya kepada pihak berkuasa.

BBerkaitan

Latest articles