Kuala Lumpur – Bullish Aim Group (BA Group), peneraju dalam infrastruktur telekomunikasi, dan YTL Communications Sdn Bhd, anak syarikat YTL Power International Berhad, telah menandatangani usaha sama strategik bagi membangunkan infrastruktur gentian generasi baharu. Kerjasama ini bertujuan memenuhi keperluan sambungan internet berkelajuan tinggi serta perkhidmatan data yang lebih mantap, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab digital serantau.
Menurut Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Bersama BA Group, Dato’ Lion Peh, kerjasama ini menandakan satu pencapaian penting dalam usaha merevolusikan landskap telekomunikasi Malaysia.
“Bersama YTL Communications, kami berhasrat membangunkan infrastruktur gentian bersama yang mampu meningkatkan kecekapan perkhidmatan data serta melonjakkan kedudukan Malaysia sebagai kuasa digital Asia Tenggara,” katanya.
Sementara itu, menurut Dato’ Seri Yeoh Seok Hong, mereka teruja untuk bekerjasama dengan BA Group dalam menyediakan sambungan internet berkelajuan tinggi yang boleh dipercayai dari Johor ke seluruh negara dan dunia.
“Dengan Johor sebagai hab utama pusat data, usaha sama ini akan melabur dalam pembangunan rangkaian gentian yang penting untuk merealisasikan ekonomi digital baharu, sekali gus memacu pertumbuhan pesat serta penyediaan perkhidmatan digital dan teknologi canggih,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Antara manfaat utama projek ini termasuk sambungan tanpa gangguan yang menawarkan kelajuan data lebih tinggi serta kebolehpercayaan yang lebih baik untuk perniagaan dan pengguna individu.
Selain itu, kecekapan kos turut menjadi kelebihan apabila infrastruktur yang dikongsi dapat mengurangkan pertindihan serta kos operasi bagi pengendali telekomunikasi. Dari segi kelestarian, rangkaian bersepadu tunggal yang dibangunkan mampu mengurangkan kesan terhadap alam sekitar, selaras dengan amalan pembangunan mampan.
Di samping itu, projek ini turut menyokong pelaksanaan teknologi masa depan seperti rangkaian 5G, Kecerdasan Buatan (AI), dan Internet of Things (IoT).
Pembangunan infrastruktur gentian ini dijangka bermula pada suku pertama 2025 dan akan meliputi bandar-bandar utama di Johor, termasuk kawasan yang kurang mendapat perkhidmatan. Ia diharapkan dapat membuka peluang ekonomi baharu serta mempercepatkan agenda transformasi digital Malaysia.
Majlis menandatangani perjanjian tersebut disaksikan oleh DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Pemangku Sultan Johor. Antara yang hadir ialah Mohamad Naifuddin Bujang Mohidin, Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Bersama BA Group; Dato’ Lion Peh, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Bersama BA Group; Dato’ Seri Yeoh Seok Hong, Pengarah Urusan YTL Communications dan YTL Power; serta Yeoh Keong Ren, Ketua Pegawai Pemasaran YTL Communications.