TASEK GELUGOR: Seramai 50 murid daripada keluarga B40 di Sekolah Kebangsaan Lahar Yooi menerima sumbangan bantuan persekolahan sempena Program Back To School 2025 bersama Pejabat TSDZ, di sini hari ini.
Pada majlis itu, setiap penerima mendapat bantuan set kelengkapan persekolahan bernilai RM250 merangkumi uniform sekolah, t-shirt, kasut, tudung, stoking, dan bag sekolah.
Pengerusi Pejabat TSDZ, Tan Sri Dzulkifli Ahmad dalam ucapannya berkata program berkenaan bertujuan untuk meringankan beban yang dihadapi ibu bapa untuk mengadakan persiapan bagi musim persekolahan 2025.
“Kami ingin memastikan anak-anak mempunyai kelengkapan yang mencukupi untuk ke sekolah.
“Saya tidak mahu kekurangan ini menjadi kekangan kepada anak-anak dan ibu bapa yang kurang berkemampuan sehingga membebankan mereka untuk ke sekolah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya selepas menyampaikan sumbangan kepada 50 pelajar pada Program Back To School 2025 bersama Pejabat TSDZ, yang turut dihadiri oleh ibu bapa pelajar penerima bantuan.
Beliau yang juga Presiden Akademi Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Rasuah di Malaysia (Amlac Academy) berkata inisiatif program ini diharap dapat memotivasikan pelajar-pelajar untuk terus bersemangat untuk hadir ke sekolah menuntut ilmu.
Dalam pada itu, Dzulkifli berkata ibu bapa yang memerlukan bantuan asas seperti beras boleh hadir ke Pejabat TSDZ di Tasek Gelugor untuk mengambil Set Bakul Makanan yang tersedia pada setiap hari untuk mereka yang memerlukan.
“Kalau ada keperluan yang perlu dibantu untuk ibu bapa yang merasakan desakan hidup maka datang la ke Pejabat TSDZ.
“Kami menyediakan Set Bakul Makanan untuk mereka yang memerlukan,” ujarnya.