KUALA LUMPUR: Seorang murid Tahun Lima kini sedang kritikal di Hospital Pulau Pinang (HPP) selepas mengalami sesak nafas akibat tercekik gula-gula kenyal berbentuk mata yang dibelinya di luar kawasan sekolah, petang semalam.
Mangsa, Mohamad Fahmi Hafiz Mohamad Fakhruddin, 10, kini dirawat di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) HPP selepas dilaporkan tidak sedarkan diri ketika mengikuti Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di Sungai Dua, Butterworth.
Menurut ibu saudaranya, Siti Farhani Mohamad Fikri, 33, kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 2.30 petang dimana Mohamad Fahmi dikatakan meminta izin daripada gurunya untuk ke tandas selepas dia dikatakan tersedak.
Bagaimanapun, dia dilaporkan rebah dan tidak sedarkan diri ketika sedang berjalan ke tandas.
“Ustazah cuba membantu dengan memberi rawatan awal termasuk menepuk belakangnya, sebelum menghubungi ambulans.
“Pasukan perubatan yang tiba di lokasi bertindak melakukan CPR sebelum berjaya mengeluarkan gula-gula yang tersangkut di tekak anak saudara saya,” katanya.
Bagaimanapun keadaan mangsa sudah kritikal dengan wajahnya bertukar kebiruan akibat kekurangan oksigen.
Menurut Siti Farhani, doktor memaklumkan bahawa otak anak saudaranya mengalami kesan akibat kekurangan oksigen yang berpanjangan.